Nilai perpaduan Sambanthan jadi inspirasi dasar negara, kata Aaron

Nilai perpaduan Sambanthan jadi inspirasi dasar negara, kata Aaron

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menyifatkan mendiang VT Sambanthan pemimpin melangkaui batasan perkauman demi cita-cita nasional.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang (tengah) menyampaikan buku ‘Tun VT Sambathan Speaks’ kepada waris Deva Kunjari Sambathan pada ‘Program Mengenang Jasa Tun VT Sambanthan: Menteri Perpaduan Pertama’ di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Nilai dan semangat perjuangan mendiang VT Sambanthan dalam memupuk perpaduan kaum terus menjadi inspirasi kepada pembentukan dasar perpaduan nasional hari ini, kata Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, pendekatan inklusif dibawa mendiang membuktikan kepelbagaian etnik bukan halangan, sebaliknya kekuatan yang perlu diraikan dan diperkukuh.

“Tun Sambanthan melihat masa depan Malaysia bukan dalam warna, kaum atau bahasa, tetapi dalam kebersamaan membina negara. Beliau pemimpin melangkaui batasan perkauman demi cita-cita nasional,” katanya ketika merasmikan ‘Program Mengenang Jasa Tun VT Sambanthan: Menteri Perpaduan Pertama’ di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman dan ahli keluarga mendiang Sambanthan.

Aaron berkata, sebagai menteri perpaduan pertama negara, mendiang memainkan peranan penting dalam membuka jalan kepada pembentukan dasar awal yang menjunjung nilai perpaduan sebagai asas kehidupan rakyat Malaysia.

“Beliau percaya perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi cara hidup yang harus dipupuk sejak kecil, diperkukuh dalam masyarakat dan dijelmakan dalam dasar negara.”

Meskipun ketika itu tiada struktur rasmi seperti Majlis Penasihat Perpaduan Negara, katanya, inisiatif dialog antara kaum yang diterajui Sambanthan menjadi asas penting kepada pendekatan kerajaan masa kini dalam memperkukuh keharmonian rakyat.

Beliau menyeru generasi muda mencontohi semangat kepimpinan mendiang berteraskan khidmat dan keikhlasan.

“Kepada anak muda Malaysia, legasi Tun Sambanthan memberi kita beberapa pengajaran penting. Pertama, kepimpinan bukan soal pangkat atau kuasa, tetapi soal khidmat dan keikhlasan. Kedua, dalam dunia semakin kompleks, kita mesti berani mempertahankan nilai kebersamaan dan keadilan.”

Aaron turut mencadangkan Arkib Negara menjadikan pameran tokoh negarawan seperti Sambanthan sebagai input wajib dalam program Arkib@Sekolah supaya generasi muda memahami akar sejarah negara dan menghargai jasa tokoh terdahulu.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku ‘Tun VT Sambanthan Speaks’ terbitan Arkib Negara yang menghimpunkan koleksi teks ucapan mendiang semasa berkhidmat sebagai menteri perpaduan dan menteri dalam Kabinet Malaya/Malaysia.

Sebagai usaha memperingati legasinya, Pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa Tun VT Sambanthan akan dianjurkan National Land Finance Co-operative Society (NLFCS) dengan kerjasama Arkib Negara November ini.

“Tun Sambanthan membuktikan Malaysia yang bersatu bukan angan-angan, tetapi cita-cita yang boleh dicapai apabila kita meletakkan kepercayaan kepada satu sama lain.”

Sambanthan antara tokoh perintis dalam perjuangan kemerdekaan dan perpaduan Malaysia. Beliau ialah presiden MIC kelima dan sebahagian delegasi merundingkan kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock.

Sebagai menteri perpaduan pertama Malaysia, beliau dikenang atas usaha memupuk dialog antara kaum, memperjuangkan pendidikan masyarakat India serta menubuhkan Koperasi NLFCS untuk membantu pekerja ladang memiliki tanah dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.