Kereta terbabas elak lori tukar lorong, 2 warga China maut

Kereta terbabas elak lori tukar lorong, 2 warga China maut

Pemandu warga tempatan cedera selepas kereta dinaiki tiga mangsa hilang kawalan di KM316.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

Pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta. (Gambar JBPM Perak)
IPOH:
Dua warga China maut, manakala pemandu warga tempatan cedera selepas kereta dinaiki terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori di KM316.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara malam tadi.

Ketua Polis Tapah, Johari Yahya, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 10.30 malam dan dua mangsa lelaki dikenali Chong Hong serta Yucheng Pan yang berusia 41 tahun maut di lokasi akibat parah di kepala.

Pemandu Toyota Vios, Lau Yong Kheng, 56, pula cedera di leher, kaki dan tangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang berada di lorong kanan cuba mengelak sebuah lori menukar laluan di depan sebelum hilang kawalan.

“Usaha sedang dilakukan untuk mengesan pemandu lori terbabit dan mendapatkan rakaman kamera papan pemuka bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Johari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.53 malam memaklumkan tiga mangsa tersepit dalam kenderaan.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah menggunakan peralatan penyelamatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis dan pasukan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.