
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di Putrajaya hari ini.
Katanya, pertemuan itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai.
“Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan supaya Hospital Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Cendana perlu diperkukuh dan ditambah tenaga kerja serta peralatan sebelum dijangka mula beroperasi pada awal tahun depan.
“Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan Bangsa Johor, khususnya dalam aspek kesihatan awam.
Semalam, Onn Hafiz mendedahkan Johor berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang semakin kritikal, dengan seorang jururawat di Johor terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8, khususnya di hospital-hospital utama.
Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan moral petugas kesihatan, malah turut memberi kesan terhadap kualiti rawatan yang diterima pesakit.