
Pasangan suami isteri Diyana Tahir dan Rahim Shukor dalam kenyataan berkata, penyebaran hantaran fitnah telah menjejaskan reputasi, kredibiliti dan operasi sah program berkenaan.
Menurut mereka, fitnah terbabit turut mencemarkan nama baik keluarga yang memberi kesan secara emosi dan mental mendalam akibat maklumat tidak berasas sekali gus menjejaskan kehidupan peribadi.
“Kami ingin menegaskan eHati dimiliki oleh kami dan tidak membabitkan ahli keluarga kami yang lain.
“Segala penyebaran hantaran berunsur fitnah dan pihak terbabit dalam mana-mana ahli keluarga kami akan diambil tindakan undang-undang,” katanya sambil menafikan dakwaan program terbabit mempunyai kaitan dengan parti politik tertentu.
Diyana dan Rahim turut menjelaskan mereka telah membuat laporan polis pada 12 Julai lalu, selain kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook mendakwa program motivasi dan bimbingan itu menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program itu mendedahkan, ajaran terbabit dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.
Dia mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku Hindu sebagai rujukan kepada peserta program.
Polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memulakan ke atas program itu.
Menafikan program itu mempunyai unsur untuk menggugat akidah Islam, pasangan terbabit juga mengingatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa lain untuk menyelidik fakta di media sosial sebelum menghukumnya.
Pasangan itu turut menjawab beberapa tuduhan seperti peserta diberikan minuman ‘Piya’ yang sebenarnya hanya campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang dirumus untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.
“Minuman ini langsung tidak mengandungi bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’ seperti yang didakwa.
“Kami juga menafikan tuduhan membawa peserta ke Bali, Indonesia untuk menyebarkan ajaran sesat. Gambar tular adalah dari program ‘retreat’ kami yang menunjukkan peserta kami sedang melakukan aktiviti ‘breathwork’, di mana dekorasi bunga yang merupakan norma di Bali telah disediakan oleh pihak hotel dan bukanlah sebahagian daripada ritual.
“Malah, individu lelaki yang kelihatan dalam gambar tersebut juga adalah seorang pakar ‘detox’ kesihatan yang dijemput untuk berkongsi pengalaman, dan bukanlah guru spiritual dari mana-mana kepercayaan agama lain,” katanya.