Aset RM183 juta disita dalam Op Metal, akaun beku

Aset RM183 juta disita dalam Op Metal, akaun beku

SPRM sedang kenal pasti pihak bersekongkol dengan sindiket seludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.

macc sprm
SPRM sita aset bernilai lebih RM183 juta dalam Op Metal.
PETALING JAYA:
Aset bernilai lebih RM183 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi pelbagai agensi terhadap sindiket penyeludupan besi di lima negeri, sejak semalam.

Menurut sumber, lapan hartanah, enam kenderaan mewah, dan lima jam tangan berjenama disita dalam Op Metal, oleh pasukan petugas khas melibatkan SPRM, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Op Metal turut membawa kepada pembekuan 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta, katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan sitaan dan pembekuan berkenaan.

Beliau turut memaklumkan 13 lokasi di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan sekitar Lembah Klang digeledah hari ini, susulan operasi pada Isnin itu.

“SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu,” katanya.

Azam menerangkan siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM.

Penyiasat turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram, termasuk kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan serta Akta Kastam.

Sementara itu, sumber memberitahu hartanah disita melibatkan tiga banglo di Batu Maung, satu penthouse di Tanjung Tokong, satu unit kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal, 7.1 ekar tanah di Batu Uban, dan 5.6 ekar tanah di Juru, selain lebih 1,960 ekar tanah ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.

Kenderaan disita pula terdiri daripada Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.

Turut disita jam tangan Patek Phillippe, Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster dan Omega Seamaster dianggarkan bernilai lebih RM740,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.