
Menerusi video di Facebook, bekas perdana menteri itu memohon maaf kerana tidak dapat menyertai acara berkenaan sehingga selesai.
“Saya mohon maaf kerana semalam tak dapat bersama waktu kita ada ‘picnic’ yang mana ribuan orang hadir… tetapi oleh kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat.
“Doktor suruh pergi hospital, saya pergilah hospital tapi sekejap sahaja di hospital (kemudian) balik.
“Sekarang saya dah pulih setelah dirawat doktor dan saya boleh teruskan cara hidup saya iaitu bekerja,” katanya yang kelihatan ceria dan segar.
Video 1 minit itu menunjukkan Mahathir meluangkan masa meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan bersalaman dengan orang ramai.
Media semalam melaporkan Mahathir terpaksa meninggalkan program lebih awal selepas dilaporkan keletihan.
Program di Tasik Putrajaya itu bersempena sambutan hari kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai, serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada 12 Julai.
Beliau yang memandu sendiri ke lokasi acara tiba pada 7.45 pagi, dan kemudian mengayuh basikal di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi.
Susulan itu, beliau dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 5 petang semalam.