Penyelesaian hasil Sabah 40% diumum September depan

Penyelesaian hasil Sabah 40% diumum September depan

Fadillah Yusof berkata perkara itu dijangka diumumkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadualkan 12 Sept depan

FADILLAH YUSOF
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas MA63 hari ini mendengar cadangan penyelesaian daripada Kerajaan Sabah, menurut Fadillah Yusof. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan dijangka mengumumkan penyelesaian berkaitan hasil Sabah sebanyak 40% pada mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadualkan 12 Sept depan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata cadangan memenuhi tuntutan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat terbabit, lapor Sabah Media.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas MA63 hari ini telah mendengar pembentangan serta cadangan penyelesaian daripada Kerajaan Sabah.

“Cadangan itu turut menerima maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara di peringkat Persekutuan,” katanya selepas mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dan Menteri Kewangan Masidi Manjun.

Fadillah berkata, mesyuarat teknikal ini diadakan bagi menyusun semula cadangan penyelesaian, termasuk cadangan interim, sebelum dibentang kepada perdana menteri untuk diputuskan secara rasmi dalam mesyuarat Majlis MA63 nanti.

“Kita memahami ada isu undang-undang yang sedang berjalan, termasuk kes yang difailkan Majlis Peguam Negeri Sabah.

“Maka, kita perlu berhati-hati, tetapi matlamat kita adalah untuk mencari penyelesaian secara bersama dan di luar bidang mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.