
Menurutnya, beliau menyertai untuk mendengar dan menyaksikan sendiri kebimbangan yang dibangkitkan Badan Peguam.
“Saya menyertai perarakan ini sebagai rakyat yang prihatin,” katanya menurut catatan di Instagram.
Petang tadi, lebih 400 ahli Badan Peguam berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman bagi himpunan simbolik mempertahankan integriti badan kehakiman.
Perhimpunan itu dianjurkan susulan desakan Majlis Peguam agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan kehakiman, yang menurutnya membawa ancaman serius terhadap doktrin pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang.
Kehadiran Nurul Izzah mendorong wakil rakyat Bersatu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, menyifatkan seruan mempertahankan integriti badan kehakiman sebagai merentas parti dan ideologi.
Mengulas tentang dakwaan campur tangan kehakiman, Nurul Izzah berkata penting untuk dakwaan-dakwaan itu disiasat bagi memulihkan kepercayaan terhadap badan kehakiman.
Beliau menyarankan siasatan melalui penubuhan tribunal bebas yang terdiri dariapda sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan.
“Tindakan sedemikian akan banyak membantu dalam memelihara keyakinan terhadap sistem kita,” katanya.
Menurut Nurul Izzah, struktur sedia ada perlu diperbaiki dengan menjadikannya lebih telus.
“Hari ini, saya mesti bersuara lagi, untuk memastikan bahawa kerajaan terus melindungi integriti sistem kehakiman kita,” katanya.