
Penganalisis politik dari Universiti Tasmania, James Chin berkata rakyat Sabah dan Sarawak merasakan mereka mendapat ‘bahagian tidak adil’ kerana secara umum difahami bahawa kedua-dua negeri itu akan mengalami pertumbuhan ekonomi pesat selepas menyertai Persekutuan Malaysia.
“Walaupun O&G tidak dinyatakan secara jelas dalam MA63, kekecewaan timbul kerana negeri-negeri ini tidak benar-benar menikmati manfaat daripada sumber berkenaan,” kata Chin kepada FMT, sambil merujuk kekayaan sumber itu di pesisir pantai Borneo.
“Rakyat Sabah dan Sarawak percaya pihak berkuasa negeri mereka telah diketepikan. Ketua menteri mereka telah menandatangani penyerahan kawalan sumber tanpa merujuk kepada Kabinet atau DUN, dan ini melebihi kuasa perlembagaan mereka,” dakwanya.

Menurut Chin, keadaan itu menyemarakkan rasa tidak puas hati dengan ramai rakyat Malaysia Timur mengatakan negeri mereka telah kehilangan peluang ekonomi besar manakala negeri-negeri di Semenanjung pula mendapat manfaat atas kesusahan mereka.
‘Pertikaian melangkaui isu minyak & gas’
Pensyarah Universiti Sunway Shakila Yacob memberikan pandangan berbeza mengenai Akta Pembangunan Petroleum (PDA), yang telah menjadi punca ketegangan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.
Beliau berkata rekod Parlimen menunjukkan ketua menteri Sarawak ketika itu, Abdul Rahman Ya’kub, berkemungkinan mendapat sokongan DUN semasa memberikan persetujuan terhadap undang-undang terbabit.
“Saya tidak menemui sebarang rekod bantahan rasmi daripada Ahli Parlimen Sarawak mengenai akta itu,” katanya kepada FMT.

“Setahu saya, semua negeri memberikan persetujuan mereka kecuali Perak dan Sabah, yang pada awalnya enggan menandatangani PDA,” katanya merujuk temu bual bersama pengasas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah serta penyelidikan disahkan dokumen arkib Amerika Syarikat.
“Akhirnya pertukaran kerajaan di Sabah dan persetujuan menteri besar Perak membawa kepada penyertaan mereka,” tambahnya.
Federalisme yang adil?
Shakila turut menekankan rasa tidak puas hati Malaysia Timur melangkaui isu berkaitan O&G semata-mata.
Beliau menyorot rungutan berterusan terhadap kegagalan kerajaan persekutuan memenuhi tanggungjawab di bawah MA63, khususnya pembayaran geran khas yang sepatutnya menyokong pembangunan ekonomi di Sarawak dan Sabah.
“Rungutan rakyat Malaysia Timur mesti ditangani untuk memupuk sistem persekutuan yang lebih mampan,” kata Shakila.
Beliau juga memetik gesaan Sarawak baru-baru ini untuk mendapatkan autonomi dalam sektor seperti kesihatan, pendidikan dan dasar alam sekitar sebagai cerminan ketidakpuasan hati yang lebih meluas terhadap aturan persekutuan.
“Ini menyerlahkan ketegangan lebih mendalam dalam sistem persekutuan Malaysia.
“Jika tidak dikendalikan dengan cermat, desakan Sarawak boleh menjadi pencetus kepada negeri lain untuk turut mempersoalkan pengagihan kuasa, dan ini berpotensi menjejaskan perpaduan negara dalam dunia semakin tidak stabil hari ini,” katanya.
Shakila menegaskan perlu ada keseimbangan antara aspirasi negeri dengan perpaduan nasional bagi menangani isu ini secara menyeluruh.
Beliau sebelum ini pernah memberitahu FMT ada juga kebimbangan ekonomi dan keselamatan yang lebih besar perlu diambil kira.
Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kini masih berunding terma undang-undang dan komersial berkaitan pengaturan baharu pengumpulan gas untuk Sarawak.
Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau telah mencapai persetujuan umum dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg mengenai perkara itu, rundingan menjadi rumit kerana Kuching bertegas dengan terma yang mungkin menjejaskan kedudukan Petronas.
Pakar industri, Jamil Ghani, sebelum ini memberitahu FMT bahawa Petronas mungkin bimbang tuntutan Sarawak boleh memberi kesan kepada komitmen kontrak antarabangsa dan domestik yang bersifat jangka Panjang.
Beliau juga menyatakan kemungkinan implikasi terhadap keuntungan syarikat itu, keupayaannya membayar dividen kepada kerajaan persekutuan, keselamatan tenaga negara serta industri O&G secara keseluruhan.
Menurut Jamil, lebih 90% daripada 3,000 syarikat perkhidmatan dan peralatan O&G di negara ini bergantung kepada Petronas untuk terus bertahan.