Rundingan Petronas-Petros beri kesan meluas ke atas industri O&G, ekonomi

Rundingan Petronas-Petros beri kesan meluas ke atas industri O&G, ekonomi

Penganalisis kata rundingan tadbir urus gas di Sarawak mesti mengekalkan peranan Putrajaya dalam melindungi keselamatan negara dan memelihara keyakinan pelabur.

Petronas LNG bintulu
Lebih 3,000 syarikat perkhidmatan minyak dan gas bergantung pada Petronas untuk terus beroperasi, menurut bekas penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rundingan Petronas dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang belum mencapai kata putus berhubung urus tadbir baharu gas mencetuskan perbahasan di kalangan pakar industri, yang menilai impaknya ke atas industri minyak dan gas (O&G) serta ekonomi lebih meluas.

Rundingan baharu

Jamil Ghani, bekas penganalisis di Malaysia Petroleum Resources Corporation, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 17 Feb memberi beberapa ‘petunjuk’ mengenai keseluruhan struktur rundingan tersebut serta peranan Petronas dan syarikat milik kerajaan Sarawak.

Jamil Ghani.

“Butiran masih diperincikan, namun Putrajaya telah menetapkan beberapa perkara yang tidak akan diterima,” katanya kepada FMT.

Di Dewan Rakyat, Anwar berkata Premier Sarawak Abang Johari Openg bersetuju kontrak antarabangsa dan domestik sedia ada Petronas akan terus berkuat kuasa.

Namun, Jamil berkata, meskipun pengumuman telah dibuat, status kontrak terbabit menjadi persoalan sehari selepas itu.

“Premier Sarawak pada 18 Feb secara terang-terangan berkata kontrak Petronas sedia ada kekal sah dan tidak terkesan, selaras jaminan Putrajaya sebelum itu.

“Tetapi, ia juga memperkenalkan satu syarat kritikal: kontrak berkenaan tidak boleh menjejaskan peranan Petros sebagai agregator gas tunggal (di Sarawak) dan tidak bercanggah dengan peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016,” katanya.

Jamil berkata syarat baharu itu secara signifikan mengubah pendirian terdahulu Sarawak, justeru memberi ‘kesan besar’ ke atas Petronas.

“Memandangkan komitmen kontrak antarabangsa dan domestik yang selama beberapa tahun itu, Petronas berdepan cabaran operasi dan kewangan susulan kenyataan premier Sarawak,” katanya.

Katanya, kontrak-kontrak tersebut, terutama yang melibatkan pembeli antarabangsa seperti Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan, lazimnya selama 20 hingga 40 tahun.

“(Kontrak ini) terlalu teknikal, dan harga akhir telah mengambil kira andaian mengenai jumlah gas yang tersedia dan margin untung.

“Jika tiba-tiba ada bayaran mesti dibuat kepada pihak lain, misalnya orang tengah, maka ada potensi peningkatan kos itu perlu dirunding semula atau dibuat penyesuaian dalam perancangan operasi strategik,” katanya.

Ucapan Anwar di Parlimen turut menyentuh beberapa perkara yang dipersetujui antara Putrajaya dan Sarawak sebagai sebahagian penyelesaian pertikaian menyeluruh.

Katanya, Petronas akan membekalkan 1.2 bilion kaki padu gas sehari kepada Sarawak bagi membantu merealisasikan Hala Tuju Gas Sarawak 2030, berbanding 450 juta kaki padu gas sekarang.

“Petronas mungkin perlu mendapatkan gas daripada pasaran untuk memenuhi peruntukan itu tanpa menjejaskan kontrak sedia ada, mungkin juga pada harga lebih tinggi. Ini secara langsung boleh memberi kesan pada unjuran kewangan dan keuntungannya,” kata Jamil.

Keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi

Di sebalik ketegangan mengenai perkongsian hasil dan pengurusan sumber, penganalisis James Chin percaya rundingan yang saling menguntungkan Petronas-Petros akan membantu hubungan kerajaan persekutuan-negeri.

James Chin
James Chin.

Penganalisis dari Tasmania University itu memberitahu FMT bahawa pelantikan Petros sebagai agregator gas tunggal amat membantu imej kerajaan pimpinan Anwar di mata pemerintah Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Di bawah kerajaan lama pimpinan Mahathir, Sarawak tidak mampu desak perkara itu kerana Mahathir enggan membincangkannya. Adalah lebih baik bagi Anwar jika mampu menyelesaikannya,” katanya, yang mengakui rundingan ini rumit.

“Masalahnya hal minyak dan gas sangat teknikal. Kita berurusan dengan perkiraan yang cukup teknikal.

“Apabila kerajaan persekutuan dan Sarawak memuktamadkan perbincangan awal tahun ini, mereka buat suatu persetujuan pada tahap yang sangat tinggi tanpa perinci semua butiran.”

Jamil berkata mencerakinkan butiran komersial dalam rangka ketat yang ditetapkan Putrajaya akan meningkatkan keyakinan pelabur.

“Ia akan mengukuhkan kestabilan operasi dan kejelasan undang-undang serta pemerian peranan. Ini akan mengurangkan risiko konflik yang mana boleh mengganggu operasi industri dan tidak menggalakkan pelaburan.”

Katanya, ia juga akan meminimumkan akibat-akibat yang berpotensi berlaku ke atas keuntungan Petronas, sambil menambah baik keselamatan tenaga Malaysia dan industri minyak dan gas, memandangkan peranan penting syarikat minyak dan gas negara dalam sektor berkenaan.

“Realitinya, industri besar lain seperti E&E (elektrik dan elektronik) didominasi pelaburan langsung asing, manakala bagi O&G adalah sebaliknya,” kata Jamil.

Menurut Jamil, lebih 3,000 syarikat perkhidmatan minyak dan gas akan terjejas teruk. “Lebih daripada 90% syarikat tersebut bergantung pada Petronas untuk hidup.”

“Jika Petronas hilang kedudukan di Sarawak, ia akan mengecilkan kemampuan membayar dividen kepada kerajaan persekutuan,” katanya.

“Aturan minyak bersubsidi akan perlu dikaji semula. Semua pusat data yang bergantung pada elektrik murah juga akan perlu buat penilaian semula.”

Menurut Jamil, kebanyakan industri di negara ini amat bergantung pada akses kepada bahan api murah. “Petronas tulang belakang yang mendukung semua ini.”

Akhirnya yang akan paling teruk terkesan adalah golongan pekerja, kata Jamil.

Keselamatan negara

Seorang lagi penganalisis, Shakila Yacob dari Sunway University, berkata kebimbangan mengenai ekonomi dan keselamatan secara lebih meluas harus dipertimbangkan walaupun kerajaan persekutuan dan negeri perlu berkongsi kuasa dan sumber.

Shakila Yacob.

Shakila berkata, aspirasi negeri dan keperluan negara harus diseimbangkan agar ketegangan terpendam dalam sistem persekutuan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Mengutamakan autonomi sumber ketika ini boleh mengalih perhatian daripada perpaduan nasional bagi menangani ancaman luar, khususnya dari China.

“Satu daripada isu paling mendesak adalah ketegangan geopolitik di Laut China Selatan yang semakin meningkat, terutama tuntutan China yang meliputi kawasan berdekatan Sarawak, seperti Beting Serupai, yang terletak 50 batu nautika di luar pesisir,” katanya.

Shakila berkata pertikaian Putrajaya-Sarawak mesti diselesaikan secara berhati-hati bagi mengenyahkan sebarang akibat negatif ke atas autonomi tenaga.

“Petronas bekerja keras pada 1970-an untuk melindungi hak minyak Malaysia daripada gergasi minyak asing. Sejak beberapa dekad ia membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kepakaran untuk mengurus sumber-sumber ini dengan berkesan.

“Namun, pertikaian antara persekutuan-Sarawak ini boleh melemahkan autoriti Petronas, merisikokan autonomi tenaga negara, dan membuka pintu kepada gergasi asing mengeksploitasi keadaan.”

“Adalah penting peranan Petronas dipelihara demi melindungi kedaulatan negara dan memastikan segala kemajuan yang telah kita capai tidak punah,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.