
Peraturan itu berkuat kuasa serta-merta dan terpakai walaupun cip tidak disenaraikan secara rasmi sebagai item terhad di bawah peruntukan “Catch-All Control” Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA).
Ini bermakna individu atau syarikat perlu memaklumkan pihak berkuasa sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal jika mereka merancang mengendalikan cip AI dari AS.
“Inisiatif ini bagi merapatkan jurang kawal selia sambil Malaysia menjalankan semakan lanjut ke atas kemasukan cip AI berprestasi tinggi berasal dari AS dalam senarai item strategik STA 2010,” katanya dalam kenyataan.
Miti turut menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan ia digunakan untuk operasi perdagangan haram.
“Malaysia berpendirian teguh terhadap sebarang cubaan memintas kawalan eksport atau terbabit aktiviti perdagangan haram oleh mana-mana individu atau syarikat, yang akan berdepan tindakan undang-undang ketat jika didapati melanggar STA 2010 atau undang-undang berkaitan.”
Langkah Miti ini menyusul laporan Jabatan Perdagangan AS bercadang menghalang China mendapatkan cip AI canggih Nvidia dengan menyekat penghantaran melalui negara ketiga seperti Malaysia dan Thailand.
Kebimbangan Washington terhadap penyeludupan cip AI ke China meningkat Januari lalu, apabila ia mula menyiasat sama ada negara seperti Singapura digunakan sebagai transit.
Perhatian beralih kepada Malaysia selepas Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam pada 3 Mac lalu berkata pelayan dilengkapi cip Nvidia yang dieksport ke Malaysia mungkin untuk destinasi akhir lain.
Tetapi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata siasatan tidak menemui bukti cip AI Nvidia dalam pelayan dipindahkan dari Singapura ke Malaysia.