
Dalam pekeliling kepada semua hospital baru-baru ini, KKM menjelaskan penerimaan wang atau bekerjasama dengan ejen perkhidmatan pengebumian boleh dianggap rasuah.
Kakitangan hospital turut dilarang memberi pihak ketiga – khasnya syarikat perkhidmatan pengebumian atau ejen mereka – sebarang maklumat si mati.
KKM berkata, arahan ini bagi melindungi integriti perkhidmatan bilik mayat dan memastikan mayat diserahkan kepada waris tanpa sebarang gangguan atau salah laku.
“Pihak berkuasa hospital perlu memastikan tiada pihak luar terbabit dalam pengurusan mayat sebelum diserahkan kepada waris. Ejen perkhidmatan pengebumian tidak boleh dibiarkan berkeliaran di sekitar kawasan bilik mayat.”
KKM berkata, semua urusan dengan syarikat pengebumian perlu dikendalikan secara langsung oleh keluarga si mati – bukan melalui cadangan kakitangan hospital.
Arahan ini menyusul aduan berterusan ejen pengebumian mengganggu waris di bilik mayat dan didakwa menawarkan perkhidmatan mempercepatkan pelepasan mayat, kadangkala dengan bantuan orang dalam hospital.
Aduan ini membawa kepada operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Mei 2024 yang menyaksikan beberapa suspek ditahan.
Lima kakitangan hospital kerajaan di Seremban didakwa pada Disember lalu atas 21 pertuduhan rasuah berkaitan perkhidmatan bilik mayat. Rasuah antara RM600 hingga RM2,250 itu didakwa diterima antara 2021 hingga 2024.
Dalam kes serupa tiga bulan sebelum itu, empat suspek termasuk seorang pembantu perubatan unit forensik Hospital Kajang ditahan atas tuduhan rasuah.