
Onn Hafiz Ghazi mendedahkan perkara itu susulan lawatan mengejut bersama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon ke Hospital Sultan Ismail (HSI) – hospital pakar kedua terbesar di Johor.
Lawatan itu bagi meninjau realiti semasa perkhidmatan kesihatan dan petugas barisan hadapan.
“Realitinya amat membimbangkan. Kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama melibatkan pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.
“Tekanan kerja semakin tinggi ini bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah turut memberi kesan kepada kualiti rawatan yang diterima pesakit,” katanya di Facebook.
Mengambil contoh di beberapa wad, beliau berkata seorang jururawat terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau 1:8.
“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berpanjangan,” katanya.
Justeru, beliau akan membawa perkara itu ke perhatian Kementerian Kesihatan dan merayu supaya pengisian jawatan bagi sektor kesihatan di negeri itu disegerakan.
“Saya sendiri akan merayu agar pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan tanpa kompromi,” katanya.