
Menurut sayap Umno itu, keengganan melaksanakan titah itu adalah satu gambaran kepada penderhakaan dan penghinaan terhadap institusi raja yang menjadi tonggak perlembagaan negara.
“Pengakuan oleh peguam negara berhubung kewujudan titah adendum selepas ditanya oleh Hakim Mahkamah Persekutuan adalah sesuatu yang amat mengejutkan, lebih-lebih lagi selepas pelbagai polemik dan penafian sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Rabu lepas, Mahkamah Persekutuan diberitahu Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Jan 2024 yang membolehkannya menjalani baki pemenjaraan di bawah tahanan rumah.
Bekas perdana menteri itu mengetahui kewujudan perintah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta, pada awal Februari tahun lalu.
Dalam pada itu, pemuda Umno tidak menyokong kenyataan Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng yang mempertikaikan cadangan agar Najib dibenarkan menjalani hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Katanya, Lim perlu faham pelaksanaannya bukan sekadar cadangan Umno, sebaliknya ia berpaksikan kepada titah adendum yang telah diperakui sendiri oleh pihak peguam negara di mahkamah.
Semalam, Lim yang dipetik Sinar Harian menyifatkan cadangan agar Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah dan wajar ditolak secara tegas.
Kata Lim, permintaan sedemikian mencabar prinsip keadilan dan menimbulkan persepsi wujudnya layanan istimewa terhadap tokoh politik yang berpengaruh.