Kerajaan peruntuk RM8.79 bilion laksana 86 projek pembangunan di Sabah

Kerajaan peruntuk RM8.79 bilion laksana 86 projek pembangunan di Sabah

Peruntukan berkenaan disalurkan sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12.

fadillah yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan memberi komitmen untuk menyelesaikan masalah air dan tenaga di Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memperuntukkan sebanyak RM8.79 bilion bagi melaksanakan 86 projek pembangunan di Sabah setakat Jun 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata peruntukan berkenaan disalurkan sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sabah mendapat peruntukan yang agak besar dalam peruntukan kerajaan Malaysia. Ini adalah komitmen kita, sudah pasti dua perkara utama yang kita akan selesaikan di Sabah iaitu masalah air dan tenaga.

“Sebab sekiranya tiada tenaga dan air, maka tidak akan berlaku pertumbuhan ekonomi di Sabah,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Petra Bersama Media Sabah 2025 di sini malam ini.

Beliau berkata kerajaan Madani sentiasa berusaha untuk memastikan Sabah terus makmur bersama dalam keluarga besar Malaysia, maka kemajuan Sabah bukan hanya tanggungjawab negeri ini tetapi menjadi amanah seluruh negara.

“Dengan hubungan Persekutuan dan negeri yang kukuh, kita dapat membina sebuah negeri dan negara yang lebih makmur, adil dan lestari dengan sokongan media yang bebas dan berintegriti serta dengan sokongan rakyat yang bersatu hati,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata sesi libat urus berkenaan bertujuan sebagai platform untuk pihak media memahami dengan lebih baik peranan Petra bersama agensi-agensi di bawah naungannya.

“Kami menganjurkan program ini dengan tujuan untuk mewujudkan keakraban dan mengukuhkan hubungan antara media serta pihak pengurusan tertinggi Petra,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.