
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tujuh langkah dicadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) seperti pemansuhan acara tidak berimpak tinggi dilihat tidak bersifat struktural.
Beliau yang sering membangkitkan isu beban guru menjelaskan, tiada siapa boleh tentukan sesuatu program berimpak tinggi atau sebaliknya dan mampukah seorang guru menolak tanggungjawab sebagai pelaksana program jika diarahkan pentadbir.
“Jika sistem penilaian tahunan dan kriteria kenaikan pangkat masih kukuh meraikan tugas yang bukan pengajaran, isu beban tugas guru tidak akan selesai.
“Arahan dari menteri KPM memang ada, ‘jangan anjur program tidak berimpak di sekolah’, isunya siapa tentukan berimpak atau tidak? Apa maksud dan garis panduan program berimpak?
“Jika JPN (jabatan pendidikan negeri) tetap mahu anjur sesuatu program walaupun tidak berimpak, bolehkah guru tolak sebagai pelaksana program?” soal Anuar yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) UKM.
Kelmarin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan tujuh langkah mengurangkan beban guru termasuk memansuhkan penganjuran acara tidak berimpak tinggi dan mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru kepada peringkat kebangsaan dan sekolah.
Beliau meminta JPN, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir sekolah memastikan langkah tersebut dilaksanakan dengan berkesan serta mahu laporan berkala setiap tiga bulan dibentangkan kepada KPM.
Bukan perkara baru
Sementara itu, bercakap kepada FMT, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata tujuh syor berkenaan bukan perkara baru dan ia hanya peringatan semula kepada semua warga pendidikan.
Katanya, inisiatif dicadangkan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) penggal 2023/2025 sudah membantu mengurangkan beban guru namun masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan.
“Usaha untuk mengurangkan beban tugas guru ini sebenarnya tidak boleh dilakukan serentak dan memerlukan beberapa fasa seperti fasa tindakan segera, sederhana dan jangka panjang.
“Tujuh langkah disebut KPM bolehlah dianggap sebagai usaha dalam fasa tindakan segera pada masa tersebut (2023 hingga 2025), namun beberapa inisiatif lain masih perlu dilaksanakan,” katanya.
Aminuddin juga mendedahkan, tempoh perkhidmatan anggota MPPK bagi penggal 2023/2025 berakhir Januari lalu dan beliau meminta KPM menjelaskan status terkini majlis itu.
Bagi menangani beban tugas guru secara berterusan dan berkesan, beliau sekali lagi menekankan kepentingan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru secepat mungkin.
“NUTP berharap jawatankuasa khas ini ditubuhkan bagi mencari jalan ke arah mengatasi isu beban tugas guru ini secara menyeluruh,” katanya.
Pada Disember 2022, Fadhlina mengumumkan MPPK diaktifkan semula bagi menyumbang idea kepada kementerian dalam merangka dan menambah baik hala tuju sistem pendidikan negara.
Majlis itu ditubuhkan pada November 2010 mengikut Seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 atau Akta 550.