Saya terbuka terima pandangan, bertindak selesai isu, kata Dzulkefly

Saya terbuka terima pandangan, bertindak selesai isu, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan menjawab satu rencana pengarang yang bangkitkan masalah kekurangan jururawat, elaun 'on-call' dan sistem ePlacement.

DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian sedia mendengar dan akan bertindak untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata beliau terbuka untuk menerima pandangan dan sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan ke atas apa jua isu berkait kementeriannya.

Dzulkefly berkata beliau menerima kritikan sebagai satu cabaran, bukan satu serangan kerana jawatan yang disandangnya itu adalah amanah rakyat yang berat.

“Di antara ‘Shape up or ship out’ (perbaiki atau keluar), saya memilih untuk ‘shape up’, bukan dengan slogan, tetapi dengan kerja”

“Saya tidak menjanjikan segalanya akan selesai segera. Tetapi saya berjanji, kami mendengar, kami bertindak, dan kami tidak akan berdiam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjawab satu rencana pengarang di Utusan Malaysia yang membangkitkan kebimbangan mengenai masalah kekurangan jururawat, elaun ‘on-call’ dan sistem ePlacement.

Dzulkefly menafikan berlakunya kekurangan 43,243 jururawat di sektor penjagaan kesihatan awam dan berkata ketika ini terdapat 120,667 jururawat di seluruh negara.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) secara berfasa membuat pengambilan graduan kejururawatan daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), dan menggandakan kapasiti pelatih institut latihan kementerian.

“Moratorium ke atas program kejururawatan swasta juga ditamatkan dan syarat kemasukan ke program diploma dilonggarkan daripada 5 kredit kepada 3 kredit SPM, serta dibuka kepada lepasan STPM, STAM, SVM, UEC dan lain-lain,” katanya.

Mengenai garis panduan bagi menangani isu buli di tempat kerja melibatkan petugas KKM, Dzulkefly berkata ia akan diumumkan pada Oktober, bersempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia.

Dzulkefly juga mempertahankan keputusan pembatalan penempatan doktor pada Februari lalu, akibat isu teknikal dalam sistem ePlacement.

Bagaimanapun, katanya, sistem tersebut telah ditambah baik dan sebanyak 2,248 pegawai perubatan telah ditawarkan lantikan tetap melalui sistem berkenaan.

KKM juga membuat semakan terhadap kekurangan petugas perubatan di fasiliti kesihatan yang tidak mengizinkan pelaksanaan waktu bekerja berlainan dan mendapati pemberian elaun tugasan atas panggilan (on-call) tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

“Saya mengarahkan ketua pengarah kesihatan untuk terus memperjuangkan dan berusaha mencari solusi untuk merealisasikan pemberian elaun ini yang dapat dimanfaatkan oleh petugas kesihatan yang layak,” katanya.

Dzulkefly turut memaklumkan bahawa KKM telah menyelesaikan pindaan ke atas Akta Ubat 1971 dan Peraturan Ubat 2025 untuk menyelesaikan isu pendaftaran pakar ‘Parallel Pathway’.

Beliau berkata kementerian juga telah meluluskan peruntukan tambahan untuk hospital, klinik baharu dan daif, serta memperkukuh lantikan tetap bagi doktor, jururawat dan pegawai kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.