Sarawak masih tak sedia terima pelabur asing, kata Adun DAP

Sarawak masih tak sedia terima pelabur asing, kata Adun DAP

Violet Yong berkata pelabur asing berdepan pelbagai halangan walaupun Sarawak dipromosi sebagai destinasi pelaburan menarik.

kawasan industri sarawak bernamapic
Seorang Adun Sarawak berkata ramai pelabur asing mengadu kepadanya mengenai proses pelaburan di negeri itu. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Seorang Adun Sarawak membangkitkan kebimbangan mengenai kesediaan negeri itu menjadi tuan rumah kepada pelabur asing, walaupun ia dipromosikan sebagai destinasi menarik.

Adun Pending daripada DAP Violet Yong mendakwa, ramai pelabur asing menghadapi halangan besar semasa ketibaan mereka, termasuk kekurangan infrastruktur sesuai serta kelemahan penyelarasan antara jabatan dan agensi berkaitan.

Yong berkata, ramai warga asing berminat untuk melabur di negeri itu susulan publisiti dibuat kerajaan Gabungan Parti Sarawak.

“Tetapi masalahnya apabila mereka datang ke Sarawak, negeri ini tidak bersedia. Tiada kemudahan atau kuasa yang mencukupi untuk menubuhkan operasi mereka dengan segera,” katanya kepada FMT, memaklumkan ramai pelabur asing mengadu kepadanya.

Beliau juga mendakwa, bakal pelabur sering tidak tahu tentang keperluan asas. “Soalan lazim mereka tanya ialah ‘Di manakah tapak untuk saya dirikan kilang? Adakah bekalan elektrik mencukupi? Bagaimana proses permohonan?'”

Yong berkata, negeri itu tidak mempunyai pusat sehenti untuk membantu pelabur memulakan operasi mereka.

Walaupun agensi negeri Invest Sarawak memberikan sedikit panduan, proses itu tetap terlalu rumit dan memakan masa. “Mereka boleh membimbing anda, tetapi prosesnya terlalu leceh.”

Sebagai contoh, katanya, jika seseorang ingin menubuhkan pusat data, mereka perlu menulis kepada Jabatan Tanah dan Ukur dan selepas itu menyemak sama ada bekalan kuasa mencukupi.

Satu lagi halangan ialah banyak lesen yang diperlukan, katanya.

Yong berkata, beliau telah diberitahu oleh beberapa pelabur berpotensi bahawa mereka akhirnya melabur di tempat lain kerana halangan yang dihadapi di Sarawak.

“Saya difahamkan mereka tidak dapat menunggu dan pergi ke Pulau Pinang atau Vietnam,” katanya memaklumkan sudah membangkitkan isu itu pada Mei di DUN.

Yong mendakwa, kerajaan negeri lebih tertumpu kepada promosi berbanding menyediakan kemudahan dan proses yang sesuai untuk pelabur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.