Ribuan tilapia kolam dibuang di Sungai Kinta, kata exco

Ribuan tilapia kolam dibuang di Sungai Kinta, kata exco

Exco Perak Teh Kok Lim berkata ujian kualiti air adalah baik dan tiada pencemaran sehingga mengakibatkan kematian mengejut hidupan akuatik.

ikan mati sungai kinta
Ribuan tilapia hitam dipercayai dari kolam ternakan dibuang di Sungai Kinta.
PETALING JAYA:
Ribuan ikan tilapia hitam ditemukan mati di Sungai Kinta pada 30 Jun lalu dipercayai bukan berasal dari habitat semula jadi sungai itu, sebaliknya dibuang dalam sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim, berkata siasatan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Negeri mendapati ikan berkenaan berkemungkinan besar berasal dari kolam ternakan.

“Ikan yang mati itu kelihatan seragam dan bukan jenis ikan liar. Kita mengesyaki ia telah dibuang dalam Sungai Kinta, bukannya mati secara semula jadi akibat pencemaran.

“Hasil ujian kualiti air yang dijalankan JAS menunjukkan bacaan berada dalam julat baik dan tiada pencemaran yang boleh menyebabkan kematian mengejut hidupan akuatik,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Grand Prix Memburu Ikan Asing anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perak di Taman Dr Seevenisagam, Ipoh.

Pada 30 Jun, tular video berdurasi 30 saat memaparkan ribuan bangkai ikan tilapia hitam mati dan dijumpai oleh masyarakat di Sungai Kinta berhampiran Kuil Guan Yin, Ipoh.

Teh menyifatkan perbuatan membuang bangkai ikan dalam sungai sebagai tidak bermoral kerana menjejaskan ekosistem serta memberi kesan kepada penduduk yang menggunakan air sungai untuk aktiviti harian.

“Jika ikan ternakan mati, penternak perlu bertanggungjawab dan melupuskannya dengan betul, seperti menanam bangkai ikan tersebut, bukannya membuang ke dalam sungai,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Manap berkata pihaknya telah bertindak segera mengeluarkan bangkai ikan dari kawasan terjejas.

“Tindakan pantas ini penting bagi mengelakkan pencemaran sekunder dan mengurangkan kesan terhadap hidupan air lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kita berharap orang ramai, khususnya pengusaha akuakultur, lebih bertanggungjawab, dan tidak mengambil jalan mudah yang boleh menjejaskan ekosistem serta sumber air negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.