PM jelaskan isu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kepada wakil BN

PM jelaskan isu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kepada wakil BN

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata penjelasan itu dibuat menjelang persidangan mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang bakal bermula 21 Julai.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar memberikan penjelasan mengenai isu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam pertemuan lebih satu jam dengan wakil BN di Putrajaya semalam.
SUNGAI BULOH:
Isu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) antara perkara dijelaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) semalam, kata Pengerusinya Zahid Hamidi.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata Anwar memberikan penjelasan itu menjelang persidangan mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang bakal bermula 21 Julai hingga 28 Ogos depan.

Presiden Umno itu menjelaskan, wakil BN secara blok berpendirian sebarang usaha mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap badan kehakiman bertentangan dengan semangat kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Istana Negara.

Zahid merujuk kenyataan dikeluarkan tiga pihak terbabit di antara 8 hingga 10 Julai lalu yang menekankan pelantikan kehakiman khususnya ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan tertakluk kepada Perlembagan Persekutuan.

“Kami berpendapat soal pelantikan ketua hakim negara tidak harus dipolitikkan dan kita perlu yakin atas perkenan Yang di-Pertuan Agong siapa juga yang akan dilantik dan dalam peraturan itu atas nasihat perdana menteri.

“Ia tentu mengambil kira personaliti dan latar belakang yang akan diteliti tuanku, kita mahu semua pihak hendaklah akur atas pilihan Agong,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Umno Selayang di Kelab Rahman Putra Malaysia.

Beliau mengulas pertemuan berlangsung lebih satu jam antara Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara BN dengan Anwar di Putrajaya, itu.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan senator pula dijemput untuk menghadiri satu mesyuarat dengan Anwar di kediaman rasmi beliau pada 14 Julai ini.

Isu pelantikan kehakiman mula tercetus selepas persaraan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara tamat pada 7 Julai lalu dan perkhidmatannya tidak disambung.

Tugas itu kini dipangku Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim.

Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim turut melepaskan jawatannya sehari selepas itu apabila mencapai usia sama.

Tidak jelas siapa yang bakal dilantik mengisi dua jawatan tertinggi itu.

Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong melantik hakim berdasarkan nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja, yang dijangka bersidang pada 15 hingga 17 Julai ini.

Senarai pendek calon biasanya disediakan JAC, yang ditubuhkan bawah Akta JAC 2009. Tetapi, tidak diketahui sama ada JAC sudah menyerahkan sebarang cadangan atau siapa yang sedang dipertimbangkan Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.