KKM komited kekalkan doktor, percepat lantikan tetap

KKM komited kekalkan doktor, percepat lantikan tetap

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan juga tiada kuasa halang petugas kesihatan menerima tawaran kerja di luar negara.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata petugas kesihatan kontrak akan segera diserap ke jawatan tetap sebaik ada kekosongan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited memastikan doktor dan petugas kesihatan terus berkhidmat di Malaysia meskipun tidak mempunyai kuasa perundangan bagi menghalang mereka menerima tawaran kerja di luar negara, kata menterinya Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kementerian melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan petugas kesihatan kekal berkhidmat termasuk mempercepat proses lantikan jawatan tetap bagi doktor kontrak.

“Kita tidak akan lengahkan, percepatkan proses serapkan petugas kontrak kepada jawatan tetap. Sejurus kita ada kekosongan, kita akan lakukan,” katanya.

Dzulkefly mengulas laporan yang mendakwa hospital di Singapura kini giat menarik petugas kesihatan awam Malaysia terutama doktor untuk berkhidmat di republik itu dengan tawaran gaji lumayan.

“Kita memang tidak ada halangan (terhadap) perekrutan rentas sempadan. Ia adalah hak individu. Ini juga sejajar dengan Perjanjian Pengiktirafan Bersama dan Perjanjian Rangka Kerja Asean mengenai Perkhidmatan.

“Namun pastinya kita mahukan doktor kita, pakar kita malah jururawat kita yang memiliki latihan asas lanjutan untuk kekal bersama kita,” katanya.

Dzulkefly berkata sistem doktor kontrak diwujudkan sebelum ini bagi menangani lonjakan graduan perubatan yang menamatkan pengajian dan kekurangan jawatan tetap dalam tempoh sedekad yang lepas.

Bagaimanapun, situasi itu tidak berlaku lagi sekarang kerana jumlah graduan perubatan menurun secara drastik dan terdapat tempat untuk jawatan tetap.

Difahamkan sesi temu duga secara langsung oleh kementerian kesihatan Singapura diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.