
Beliau berkata, keputusan itu juga menjadi titik-tolak kepada komitmen berterusan UTeM meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Semalam, Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Azlianor Abdul Aziz dari Fakulti Teknologi Maklumat berkaitan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 11 Tahun 2024 dan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 23 Tahun 2024, masing-masing memperkenalkan sistem baharu penilaian prestasi pensyarah UTeM termasuk penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) penerbitan jurnal berindeks dan pendekatan kaedah pemarkahan dalam laporan penilaian prestasi tahunan (LPPT).
Beliau memohon mahkamah membatalkan kedua-dua pekeliling atas alasan pelaksanaannya bertentangan hak asasi bawah Perkara 6(2), 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan serta mendakwa ia bercanggah Seksyen 8 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Perkara 4(1)(r) Perlembagaan UTeM.
Tindakan dilakukan pemohon susulan merasakan dirinya terkesan terhadap dua pekeliling pentadbiran dikeluarkan universiti.
Hakim Anselm Charles Fernandis menolak permohonan itu dengan kos RM15,000 dan memutuskan pemohon tidak berjaya menunjukkan sebarang kecacatan undang-undang.
Mahkamah juga memutuskan UTeM mempunyai kuasa untuk menggubal dan melaksanakan dasar dalaman selaras objektif institusi dan kepentingan awam.

Mengulas lanjut, Massila berkata pelaksanaan pekeliling itu adalah tindak balas strategik kepada dapatan laporan Jabatan Perkhidmatan Awam dan penilaian KPI Kementerian Pendidikan Tinggi yang menunjukkan prestasi penerbitan dalam kalangan pensyarah yang perlu dipertingkatkan.
Katanya, UTeM tidak pernah bersikap zalim kepada warga akademiknya, sebaliknya pelaksanaan itu adalah usaha memperkasa tanggungjawab dan budaya kecemerlangan akademik melalui penulisan ilmiah yang berimpak.
“Kedua-dua pekeliling tersebut dikeluarkan bagi maksud meningkatkan jumlah penerbitan artikel jurnal sekali gus menggalakkan persaingan sihat dengan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain.
“Seterusnya, komitmen tersebut juga amat penting kerana ia turut menjadi penyumbang langsung dalam usaha melonjakkan penarafan UTeM di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, pemohon turut memohon pelaksanaan kedua-dua pekeliling tersebut digantung sementara menunggu keputusan semakan kehakiman, namun mahkamah menolak permohonan itu pada 18 Dis tahun lalu dengan alasan ia akan menjejaskan pentadbiran dan kelancaran operasi universiti.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan pemohon membayar kos sebanyak RM2,000 kepada responden dalam permohonan penggantungan tersebut.