
Timbalan perdana menteri berkata sebagai individu paling rapat dengan Najib selepas isterinya, Rosmah Mansor, beliau sudah pasti akan melakukan pelbagai cara untuk membebaskan bekas presiden Umno itu.
Zahid juga berkata beliau seorang yang mengenang jasa dan merayu ahli Umno tidak mempertikaikan apa yang beliau lakukan untuk Najib.
“Tetapi janganlah tanya lebih-lebih apa saya nak buat, saya tahulah apa saya nak buat. Percayakan saya.
“Saya jumpa dengan siapa, bincang dengan siapa, mohon dengan siapa. Jangan la desak.. ada la caranya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Selayang di Kelab Rahman Putra Malaysia.
Semalam, Umno merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah susulan pengesahan peguam negara mengenai kewujudan titah adendum.
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata: “Umno merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.”
Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan bahawa Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengakui kewujudan titah adendum membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan bahawa pendakwaraya mengakui kewujudan perintah tambahan semasa berhujah pada 2 Julai, namun mempersoalkan kesahihannya.
Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Jan 2024 yang membolehkannya menjalani baki pemenjaraan di bawah tahanan rumah.
Najib mengetahui tentang kewujudan perintah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta, pada awal Februari tahun lalu.
Beliau kini sedang menjalani hukuman enam tahun penjara berkaitan kes SRC International.