
Hajiji yang juga ketua menteri berkata, walaupun ada prerogatif untuk menasihati Yang Dipertua Negeri Musa Aman, beliau lebih memilih membuat keputusan secara bersama, selaras dengan semangat GRS.
“Kita di GRS, setiap keputusan mesti dibuat menerusi Majlis Tertinggi.
“Saya akan bincang dan memaklumkan semua presiden parti bila untuk bubarkan DUN,” katanya kepada media di Penampang selepas menutup konvensyen bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila perbincangan dengan Majlis Tertinggi itu akan diadakan.
Ditanya sama ada beliau akan membiarkan DUN terbubar secara automatik pada November ini, Hajiji berkata perkara itu akan dipertimbangkan secara berhati-hati.
Tempoh penggal semasa DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Mengulas spekulasi bahawa GRS mungkin bertanding secara solo dalam pilihan raya akan datang, Hajiji berkata perkara itu juga akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi.
GRS sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama pilihan raya, selepas menyatakan ia mungkin bertanding solo sekiranya PH dan BN membentuk pakatan.
Terdahulu hari ini, Perikatan Nasional (PN) menolak sebarang kerjasama pilihan raya dengan GRS.
Gabungan Rakyat Sabah terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah, PBS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), United Sabah National Organisation (Usno), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.
Hajiji menyifatkan Konvensyen PBS–STAR hari ini sebagai detik bersejarah yang memperkukuh kerjasama politik tempatan. Ia mencerminkan kematangan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi perbezaan politik, katanya.