Gantung Rafizi, Ahli Parlimen sekutu, kata 19 ketua cabang PKR

Gantung Rafizi, Ahli Parlimen sekutu, kata 19 ketua cabang PKR

Ketua cabang PKR Johor itu mahu tindakan disiplin dikenakan ke atas sembilan wakil rakyat susulan gesaan penubuhan RCI berkait pelantikan badan kehakiman.

Sidang media bersama beberapa ahli Parlimen PKR
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan lapan wakil rakyat PKR lain mendesak ditubuhkan RCI mengenai kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi.
PETALING JAYA:
Sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor seru penggantungan sembilan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

Ketua cabang berkenaan berkata, tindakan Ahli Parlimen tersebut melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan perdana menteri serta membuka ruang kepada manipulasi politik pihak lawan.

“Sehubungan itu, kami dengan tegas menyeru Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh agar segera menggantung keahlian sementara semua sembilan Ahli Parlimen terlibat,” katanya dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu disokong ketua cabang Mersing, Bakri, Pengerang, Seri Gading, Sembrong, Ayer Hitam, Muar, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tebrau, Pontian, Kluang, Parit Sulong, Tanjung Piai, Pagoh, Segamat, Kota Tinggi, Labis, dan Pulai.

Kumpulan tersebut juga mendesak Fuziah memulakan siasatan tatatertib ke atas sembilan wakil rakyat PKR melibatkan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli, yang juga Ahli Parlimen Pandan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Rodziah Ismail (Ampang); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); S Kesavan (Sungai Siput); dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Kata ketua cabang terbabit, mereka tidak menolak kepentingan menjaga integriti institusi kehakiman, namun pendekatan sembilan Ahli Parlimen berkenaan telah melangkaui batas disiplin dan bercanggah dengan kod tataetika parti.

Mereka turut memetik beberapa kod tataetika, antaranya menghormati keputusan parti, melindungi maklumat sulit dan kerahsiaan, menjaga nama baik parti, larangan melakukan aktiviti sabotaj kepada keputusan parti dan pimpinannya.

“Tindakan tegas ini penting demi memelihara kewibawaan parti, memulihkan semula disiplin organisasi, dan mengelakkan persepsi buruk yang boleh menjejaskan perpaduan PKR secara keseluruhan. PKR tidak boleh menjadi parti yang longgar dalam soal tatakelola dan kesetiaan institusi dari kalangan anggotanya,” kata mereka.

Kumpulan itu berkata, sebarang isu berkaitan dasar atau keprihatinan terhadap pentadbiran negara seharusnya disalurkan melalui platform dalaman seperti Biro Politik, atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pada Selasa, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim memberi amaran berhubung kesan kepada sembilan Ahli Parlimen tersebut.

Katanya, mereka juga perlu mempertimbangkan implikasi RCI, termasuk tekanan mungkin dikenakan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

Hassan turut mempersoalkan sama ada wakil rakyat itu telah mempertimbangkan secara menyeluruh kesan jangka panjang tindakan mereka, dan sama ada ia didorong oleh idealisme reformasi yang tulen atau kepentingan politik peribadi.

Kumpulan Ahli Parlimen diketuai Rafizi tersebut menggesa penubuhan RCI serta satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.