
Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, berkata jumlah dagangan semasa antara kedua-dua negara telah melepasi USD5 bilion dan Turki menyasarkan untuk mempertingkatkannya.
“Jumlah dagangan kita (Turki dan Malaysia) sebenarnya tidak menggambarkan tahap persahabatan. Kita baru sahaja mencatatkan melebihi USD5 bilion.
“Sasaran kita ialah mencecah USD10 bilion,” katanya semasa temu bual eksklusif dalam program Bernama TV, The Nation: Diplomatic Dispatch bertajuk ‘Malaysia, Turkey and the Asean Outlook’ disiarkan pada Jumaat.
Fidan menyifatkan hubungan peribadi rapat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebagai pemacu utama kerjasama dua hala berkata hubungan kukuh mereka telah mewujudkan persekitaran kondusif untuk memajukan usaha bersama.
“Pemimpin kita (Anwar dan Erdogan) adalah kawan yang akrab. Keakraban dan hubungan baik mereka menyediakan kita payung besar sebagai perlindungan untuk memajukan agenda kita bersama-sama,” kata Fidan.
Beliau juga mengenal pasti kerjasama industri pertahanan dan mikroelektronik sebagai bidang pelaburan bersama yang berpotensi.
“Saya tahu syarikat industri pertahanan kita…syarikat terkemuka, mereka telah cuba meneroka peluang dari segi kerjasama teknologi. Saya berpendapat ini adalah satu bidang yang baik,” katanya.
Mengenai teknologi, beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan daya saing di sini.
“Ini yang kami mahukan (kelebihan daya saing)…inilah yang kami cuba manfaatkan,” katanya.
Fidan juga mencadangkan libat urus kerajaan-ke-kerajaan dipertingkatkan dalam bidang seperti tenaga boleh baharu dan tradisional, menekankan kerjasama yang mungkin berlaku menerusi entiti seperti Petronas dan syarikat tenaga milik kerajaan Turki.
Beliau berada di Kuala Lumpur untuk rundingan peringkat tinggi diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Turki ialah Rakan Dialog Sektoral Asean sejak 2017.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula diadakan di bawah Kepengerusian Asean Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri termasuk pertemuan dengan rakan dialog Asean dan rakan dialog sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai itu, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi.