
Rubio berkata AS mungkin mencapai perjanjian dengan negara-negara yang ‘mengubah angka dengan cara yang positif’.
“Itu mengambil sedikit masa untuk diusahakan, tetapi itu boleh dilaksanakan. Bagaimanapun, secara amnya, ini tidak ditujukan kepada mana-mana negara,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri Luar Asean ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur hari ini.
Rubio mempertahankan tarif sebagai langkah perlu untuk menangani ‘defisit perdagangan yang besar’ dihadapi AS dengan beberapa negara di seluruh dunia.
“Ini bersifat global. Ia terpakai kepada hampir setiap negara di dunia kerana defisit perdagangan AS dengan terlalu banyak negara adalah tidak mampan. Kami terpaksa menanganinya,” katanya.
Semalam, Rubio menyatakan keyakinan bahawa sebaik sahaja rundingan mengenai tarif diselesaikan, negara Asia Tenggara boleh mendapat manfaat daripada syarat perdagangan yang lebih menguntungkan.
“Sebaik dilakukan, banyak negara di Asia Tenggara boleh berakhir dengan kadar tarif yang sebenarnya lebih baik daripada di bahagian lain di dunia.
“Pintu tetap terbuka kepada pelarasan jika persetujuan boleh dicapai, dan kami terlibat secara aktif dalam perbincangan dengan beberapa negara yang diwakili di sini untuk membuat kemajuan selanjutnya,” katanya.
Rubio juga berkata semalam pentadbiran AS sedang mengusahakan tarikh untuk sidang kemuncak AS-Asean dihoskan Malaysia sebagai pengerusi Asean, sebagai tindak balas kepada tarif Trump.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyampaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri kedua-dua sidang kemuncak AS-Asean dan sidang kemuncak Asia Timur, yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober.