Kerajaan Abang Jo ada semak imbang tersendiri, kata menteri Sarawak

Kerajaan Abang Jo ada semak imbang tersendiri, kata menteri Sarawak

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia termasuk Unit Ombudsman bagi pantau integriti kerajaan.

The Sarawak state assembly
Hanya dua sahaja Adun pembangkang di DUN melibatkan wakil DAP, Chong Chieng Jen (Pandungan) dan Violent Yong (Pending). (Gambar Bernama)
KUCHING:
Seorang menteri Sarawak memberi jaminan pentadbiran negeri diterajui Abang Johari Openg tetap mengekalkan mekanisme semak dan imbang secukupnya, walaupun timbul kebimbangan ketiadaan barisan pembangkang yang kukuh di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mengambil langkah proaktif memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawaban, biarpun gabungan pemerintah menguasai majoriti besar.

abdul karim rahman hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Semak dan imbang menjadi tunjang utama pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada FMT dalam wawancara.

Daripada keseluruhan 82 Adun, hanya dua berada di blok pembangkang — Chong Chieng Jen (Pandungan) dan Violet Yong (Pending), kedua-duanya wakil DAP.

Karim, yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata Sarawak mempunyai pelbagai mekanisme memantau integriti pentadbiran kerajaan, termasuk penubuhan Unit Ombudsman yang dikatakan satu-satunya unit seumpamanya di negara ini.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai dakwaan kronisme berleluasa dan salah guna kuasa dikaitkan dengan era pemerintahan bekas ketua menteri, Abdul Taib Mahmud.

“Era Taib sudah berakhir,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak terlibat salah laku perlu dipertanggungjawabkan, namun menegaskan tindakan lanjut berada di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan.

Kualiti Adun lebih baik

Karim berkata, DUN berkembang dari segi kualiti dan kematangan, dengan peranan penting penyokong kerajaan memastikan kerajaan sentiasa dipantau.

Menurutnya, berbanding dahulu di mana calon pilihan raya ‘tidak begitu berkelayakan dari segi akademik’, majoriti Adun sekarang terdiri golongan profesional seperti doktor, peguam serta graduan dalam pelbagai bidang lain.

Karim, yang berlatar belakang bidang guaman, berkata wakil rakyat pada masa kini lebih cenderung mencabar pihak mempunyai kuasa dan tidak lagi terikat budaya lama berasaskan kesetiaan membuta tuli terhadap kepimpinan.

“Sepanjang saya berkhidmat, saya perhatikan mereka semakin lantang bersuara. Kita tidak lagi lihat sokongan diberikan secara membuta tuli terhadap sesuatu dasar,” kata Adun Asajaya itu, yang pertama kali dipilih pada 2001.

Karim berkata, walaupun hanya terdapat dua wakil pembangkang dalam DUN yang mempunyai 82 kerusi, barisan penyokong kerajaan sedar peranan mereka dan akan bersuara apabila keadaan memerlukan.

“Keadaannya mungkin berbeza, tetapi penyokong kerajaan ini tahu bila masa untuk mengkritik,” katanya.

Daripada pembalakan kepada pembangunan hijau

Karim berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan pembangunan mampan dan tenaga bersih, dengan berganjak daripada amalan merosakkan alam sekitar seperti pembalakan.

“Saya percaya kita sedang menuju ke arah yang betul. Kita telah beralih daripada industri kurang lestari seperti pembalakan. Kini, kita lebih melindungi hutan kita. Kerajaan negeri sedang beralih kepada tenaga bersih dan meninggalkan kebergantungan terhadap fosil (bahan api),” katanya.

Beliau turut memetik penganjuran Rainforest World Music Festival, yang telah berlangsung lebih dua dekad, sebagai contoh inisiatif mesra alam dilaksanakan di Sarawak, selain keputusan kerajaan negeri mengharamkan penjualan telur penyu di pasaran.

Karim turut menyatakan Sarawak mencatatkan kemajuan ketara dalam aspek sanitasi dan pelupusan sisa sejak 1970-an.

Beliau berkata era ‘tandas terbang’ — di mana orang ramai menggunakan beg plastik membuang najis dalam sungai — kini sudah berakhir hasil kemudahan sanitasi lebih sempurna.

“Itu menunjukkan kejayaan dalam mengubah minda rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai perancangan bandar, beliau berkata pembangunan Kuching lebih tertumpu kepada peluasan secara mendatar berbanding pembangunan bertingkat tinggi, sambil merujuk ketiadaan bangunan pencakar langit di ibu negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.