
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti bersyukur kerana peguam negara telah mengesahkan kewujudan titah tersebut.
“Umno merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan bahawa Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengakui kewujudan titah adendum itu.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan bahawa pendakwaraya mengakui kewujudan perintah tambahan semasa berhujah pada 2 Julai, namun mempersoalkan kesahihannya.
Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Jan 2024 yang membolehkannya menjalani baki pemenjaraan di bawah tahanan rumah.
Najib mengetahui tentang kewujudan perintah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta, pada awal Februari tahun lalu.
Beliau kini sedang menjalani hukuman enam tahun penjara berkaitan kes SRC International.