Walau gilir pengerusi PN, ‘poster boy’ tetap Bersatu, kata penganalisis

Walau gilir pengerusi PN, ‘poster boy’ tetap Bersatu, kata penganalisis

Mazlan Ali dari UTM berpandangan Bersatu lebih sesuai pimpin PN berbanding PAS dalam meraih sokongan bukan Melayu.

Muhyiddin-Yassin-Hadi-Awang
Muhyiddin Yassin dakwa Hadi Awang menolak tawarannya supaya PAS memegang jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penggiliran dalam kepimpinan.
PETALING JAYA:
Penggiliran jawatan pengerusi mungkin membolehkan PAS mengetuai Perikatan Nasional (PN), kata seorang penganalisis yang bagaimanapun berpendapat ‘poster boy’ PRU16 komponen itu mungkin tetap daripada Bersatu.

Mazlan Ali berpandangan, wakil Bersatu mungkin lebih sesuai sebagai calon perdana menteri dalam usaha menarik sokongan bukan Melayu, kekurangan ketara bagi komponen itu dalam beberapa siri pilihan raya.

Menurut ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, PAS dari kaca mata pengundi bukan Melayu dilihat masih bersifat konservatif menerusi naratif Melayu Islam dalam perjuangannya.

“Peluang untuk PAS pimpin PN agak tipis…walaupun ada bayangan PAS boleh pimpin PN, saya yakin pengerusi PN dan poster boy mesti dari Bersatu.

“…kerana jika dari PAS, mungkin tiada penambahan sokongan dari pengundi bukan Melayu terhadap PN kerana parti itu membawa naratif Melayu Islam,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, media melaporkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang beliau telah menawarkan PAS memegang jawatan disandangnya itu, sebagai sebahagian penggiliran dalam kepimpinan.

Namun, Muhyiddin mendakwa tawaran itu ditolak Presiden PAS Hadi Awang yang menyatakan sokongan penuh kepada presiden Bersatu untuk terus memimpin PN.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) pula berpandangan, kepimpinan PN perlu disusun semula untuk mendekati pengundi bukan Melayu, yang satu daripada caranya mungkin dengan menambat hati komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.

Beliau berkata, PN perlu mengukuhkan pengaruh parti India dan Cina dalam gabungan itu, yang boleh dikatakan gagal ditembusi MIPP dan Gerakan.

“MIPP dan Gerakan, umpama patung politik untuk melengkapkan kriteria PN. PN perlu ajak MCA dan MIC sertai PN, barulah strategi menawan hati pengundi bukan Melayu beransur menjadi kenyataan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.