
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, dan Mohd Faizal Ismail, 35, Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, Mohamad Farid Ismail, 33, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali, lapor Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Faizal didakwa mengedar 115 gram dadah jenis methaphetamine yang dijumpai di dalam sebuah kereta Perodua Axia di simpang tiga Jalan Gajah Mati berdekatan Kampung Banggol Chicha, 11.15 pagi 27 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan kedua pula, Mohd Faizal dan Nur Ayu Fatihah didakwa mengedar 112 gram dadah jenis methaphetamine di sebuah rumah di Kampung Banggol Chicha, 11.30 pagi hari yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, semua lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar 19,866 gram dadah jenis methaphetamine di sebuah kandang lembu belakang rumah di Kampung Banggol Chicha, pada 4.30 petang hari yang sama.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Syazalia Che Suhaimi mengendalikan pendakwaan manakala Nur Ayu Fatihah dan Mohd Faizal diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan. Tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes dan tiada tawaran jaminan diberikan terhadap tertuduh.