
Mahathir memaklumkan sentiasa berusaha mengelak daripada menyalahgunakan kuasa dan hanya mahu berbakti sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
“Saya tidak mahu dikenang kerana kuasa. Saya cuma tidak mahu dikecam kerana melakukan perkara yang salah.
“Apa yang saya mahu hanyalah memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi juga berkata, beliau tidak pernah merancang menjadi perdana menteri, dan pelantikannya ke jawatan itu pada 1981 sebagai kebetulan semata-mata.
“Saya tidak berusaha untuk menjadi perdana menteri. Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan memegang jawatan itu.
“Namun, keadaan pada masa itu menjadikan saya berada di tempat yang betul pada masa yang tepat, dan akhirnya saya dilantik. Ini pencapaian terbesar dalam hidup saya,” katanya.
Mahathir turut merakamkan penghargaan atas segala ucapan dan hadiah sempena ulang tahun kelahirannya termasuk daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya juga menerima nota ucapan daripada perdana menteri yang mengucapkan selamat hari jadi ke-100 kepada saya. Terima kasih,” katanya.
Mahathir menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi memegang jawatan itu dari Mei 2018 hingga Februari 2020 bawah pentadbiran Pakatan Harapan, selepas membantu menumbangkan BN daripada tampuk kuasa.
Sejak pembentukan kerajaan perpaduan pada November 2022, Mahathir secara terbuka mengkritik Anwar, bekas timbalannya.