
Namun, sejauh mana kebimbangan itu benar-benar berasas?
FMT menyingkap lima salah tanggapan terkait peluasan SST bagi menjelaskan apa sebenarnya dimaksudkan dengan langkah percukaian baharu ini.
Kesan rantaian inflasi akan berlaku
Salah satu mitos lazim mengenai SST adalah peluasaannya akan mencetuskan inflasi secara meluas.
Namun, SST ialah cukai seperingkat yang hanya dikenakan pada titik jualan dan tidak berlapis sepanjang rantaian bekalan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Ia juga hanya dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu sahaja.
Walaupun mungkin terdapat sedikit pelarasan harga dalam sektor tertentu, kebimbangan mengenai inflasi menyeluruh adalah keterlaluan.
Kenaikan mendadak kos sara hidup
Satu lagi salah tanggapan adalah peluasan SST akan membebankan pengguna yang sudah pun bergelut dengan kos sara hidup.
Bagaimanapun, banyak barangan dan perkhidmatan asas kekal dikecualikan, termasuk makanan ruji, pengangkutan awam dan pendidikan. Peluasan SST hanya meliputi barangan premium, bernilai tinggi dan bersifat khusus.
Pengguna mungkin melihat perubahan harga dalam beberapa kategori, tetapi kesan keseluruhan terhadap perbelanjaan isi rumah dijangka sederhana.
Perniagaan akan tergesa-gesa untuk mematuhi peraturan
Ada juga kebimbangan yang perniagaan daripada pelbagai saiz tidak bersedia dan terpaksa membuat persiapan saat akhir untuk memenuhi keperluan baharu peluasan SST.
Hakikatnya, peluasan SST sudah diumumkan hampir dua tahun lalu sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2024, sekali gus memberi masa secukupnya kepada industri dan perniagaan membuat persediaan.
Selain itu, hanya perniagaan dengan hasil perkhidmatan bercukai melebihi RM500,000 diwajibkan mendaftar. Pengusaha kecil tidak akan terkesan.
Daya saing industri akan terjejas
Kumpulan industri mungkin bimbang peluasan SST boleh menjejaskan daya saing Malaysia terutama apabila perkhidmatan input seperti logistik dikenakan cukai.
Tetapi, SST tidak terpakai ke atas eksport dan kerajaan mengecualikan perkhidmatan antara perniagaan (business-to-business) bagi mengelakkan cukai berganda.
Sebarang kesan kos akhir akan bergantung terutama pada bagaimana perniagaan menguruskan operasi mereka, dan bukan semata-mata disebabkan SST.
GST terselindung
Ada yang mengatakan peluasan SST sebenarnya adalah pengembalian GST secara terselindung, namun dakwaan itu mengabaikan perbezaan struktur utama antara kedua-duanya.
Tidak seperti GST yang merupakan cukai pelbagai peringkat dengan kredit cukai input, SST lebih terhad dan hanya dikenakan sekali sama ada ke atas penjualan barangan tertentu atau perkhidmatan khusus.
Ia juga tidak mempunyai mekanisme tolakan kredit seperti GST, sekali gus mengurangkan beban pentadbiran ke atas perniagaan.
Secara ringkas, SST pada asasnya bukanlah GST dari segi skop, reka bentuk atau pelaksanaan.
Kesimpulan
Walaupun peluasan SST akan membawa beberapa perubahan, kebanyakan kebimbangan berpunca akibat salah faham.
Buat masa ini, peluasan SST kekal sebagai langkah reformasi fiskal yang bersasar, bukan pembaharuan memudaratkan.