
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan sekutunya iaitu Bersatu.
Katanya, ia antara syor PAS dalam usaha menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran PN.
“Cadangan ini sudah sampai ke pihak Bersatu dan kita minta mereka sama-sama memikirkannya sebab ia memerlukan konsensus antara parti (dalam PN).
“Kita mencadangkan diwujudkan satu badan tertinggi dinamakan majlis presiden yang mana melalui majlis ini, ia akan dianggotai presiden parti yang secara prinsipnya akan melihat PN (secara menyeluruh).
“Ada pun pada peringkat pengoperasian day to day (harian) termasuk menjawab, menjuarai dan menggembleng isu, ia boleh diserahkan kepada jawatankuasa eksekutif,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau mengulas sama ada wujud perbincangan dalam PAS mengenai kedudukan parti itu dalam PN, termasuk soal penggiliran jawatan pengerusi gabungan yang kini dipegang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Baru-baru ini, Muhyiddin berkata, beliau masih berpegang pada konsensus parti komponen PN, khususnya pandangan Presiden PAS Hadi Awang, agar beliau terus menjadi pengerusi gabungan itu.
Khairil yang juga Ahli Parlimen Jerantut turut memberi bayangan perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat PN akan datang.
“Kita lihatlah (nanti) perkembangan terbaharu daripada perbincangan ini,” katanya.
PAS baru-baru ini turut menafikan kenyataan pihak tertentu yang mendakwa hubungan dalam kalangan parti komponen PN retak.
Media sebelum ini turut melaporkan PN akan melaksanakan rombakan menyeluruh struktur organisasi gabungan itu bagi memperkukuh tadbir urus serta kerjasama antara parti komponen.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kenyataan sebelum ini berkata penambahbaikan struktur organisasi itu dijangka dilaksanakan selepas jawatankuasa khas PN selesai membuat penilaian menyeluruh.