Mahkamah putuskan video Firdaus Wong nasihat tukar agama bawah umur tak berperlembagaan

Mahkamah putuskan video Firdaus Wong nasihat tukar agama bawah umur tak berperlembagaan

Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh padam video itu secara kekal dan melarangnya memuat naik video atau mengeluarkan kenyataan serupa.

M Visvanathan
Peguam M Visvanathan menjelaskan keputusan prosiding kepada tiga daripada lapan ibu bapa di luar Mahkamah Tinggi.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memutuskan video pendakwah Firdaus Wong menggalakkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara rahsia menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Hakim Amarjeet Singh mengarahkan Firdaus memadamkan video itu secara kekal dan melarangnya memuat naik video atau mengeluarkan kenyataan serupa.

Beliau turut memerintahkan Firdaus membayar kos RM10,000 kepada lapan ibu bapa bukan Islam.

Jun tahun lalu, Firdaus memuat naik video memberi arahan kepada seorang lelaki berhubung cara mengendalikan permintaan kanak-kanak bawah umur mahu memeluk Islam secara rahsia.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap pendakwah itu selepas video terbabit tular di media sosial.

Polis kemudian membuka siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan mendatangkan khianat awam.

Ibu bapa terbabit memohon pengisytiharan dan injunksi dalam saman difailkan 18 Julai 2024.

Peguam M Visvanathan yang mewakili kumpulan ibu bapa itu berkata, beliau sudah berhujah kandungan video Firdaus melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama individu bawah 18 tahun hendaklah diputuskan ibu bapa atau penjaga, jadi Firdaus telah melanggar hak itu.

Beliau berhujah, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa bawah Seksyen 25 dan Jadual Kedua Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menguatkuasakan hak diberikan Bahagian II Perlembagaan kepada mana-mana individu.

Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan turut mewakili lapan ibu bapa terbabit.

Peguam Norazali Nordin yang mewakili Firdaus berkata, beliau akan menerima arahan daripada anak guamnya sama ada mahu merayu keputusan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.