Lelaki mengaku tak salah perdagang saudara kepada sindiket

Lelaki mengaku tak salah perdagang saudara kepada sindiket

Jackson Choh Safri didakwa memperdagangkan pekerja yang juga saudaranya, Joshua Edward kepada sindiket penipuan bulan lalu.

Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000, selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang majikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan saudaranya sendiri bagi tujuan eksploitasi kerja sindiket penipuan bulan lalu.

Harian Metro melaporkan Jackson Choh Safri, 24, dari Sarawak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Surita Budin.

Dia didakwa memperdagangkan pekerja yang juga saudaranya, Joshua Edward, 27, untuk tujuan eksploitasi kerja dengan cara pemerdayaan kira-kira 4 pagi di sebuah rumah di Youth City, Persiaran Pusat Bandar Nilai, Seremban pada 24 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 membawa hukuman penjara minimum 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh didenda RM500,000 tetapi tidak lebih RM1 juta dan dilucutkan keuntungan daripada kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bercagar beserta tiga syarat tambahan.

Peguam Hafez Zalkapli merayu ikat jamin terendah atas alasan tertuduh tidak bekerja lagi dan menanggung seorang adik kurang upaya serta seorang kakak tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan mengganggu saksi, perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.