Kekejaman di Gaza perlu henti, PM tegaskan kepada Rubio

Kekejaman di Gaza perlu henti, PM tegaskan kepada Rubio

Gesaan disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat Marco Rubio di Parlimen pada Khamis.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tegaskan kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio bahawa kekejaman di Gaza perlu dihentikan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio bahawa kekejaman dan pembantaian yang berlaku di Gaza, Palestin perlu dihentikan segera.

Perdana menteri berkata gesaan itu disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat Rubio di Parlimen pada Khamis selain membincangkan perkara lain dalam pertemuan kira-kira 40 minit itu.

“Dia nampak yakin akan ada gencatan senjata (yang akan) membolehkan bantuan kemanusiaan (disalurkan) ke Palestin dan Gaza.

“Mengenai isu-isu lain perdamaian, saya tekankan bahawa kita di sini terkesan juga kalau ada pencerobohan dan gangguan,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan.

Rubio berada di sini bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian Asean 2025.

Ini juga adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai setiausaha negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.

Beliau mewakili AS ke mesyuarat Asean yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.

Anwar berkata beliau dan Rubio turut membincangkan soal Asean.

“AS masih menganggap hubungan dengan Malaysia penting dan mahu kekal malah meningkatkan kerjasama dengan Asean dan negara anggota,” kata perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.