
Ong Hwai Chyuan dari Sunway University, berkata dasar ‘drill baby, drill’ oleh Presiden Donald Trump – yang mendukung peningkatan penggerudian minyak dan gas di AS – dan menekan negara pengeluar minyak untuk mengepam lebih banyak sumber itu, menjurus limpahan bekalan.
Peningkatan bekalan akan mengakibatkan penurunan ketara harga minyak kepada di bawah USD60 bagi setiap tong, kata Ong yang menjalankan penyelidikan dalam tenaga dan bahan api.
“Penurunan (keuntungan) itu mungkin mengakibatkan penurunan perbelanjaan modal dan aktiviti cari gali.
“Justeru, projek mungkin menjadi kurang berdaya maju, berpotensi menyebabkan kelewatan atau pembatalan usaha niaga huluan baharu,” katanya kepada FMT.
Katanya, jika pelabur percaya pasaran minyak dunia akan berdepan limpahan bekalan dalam tempoh terdekat kesan dasar AS, mereka berkemungkinan teragak-agak untuk melabur dalam penerokaan baharu atau projek infrastruktur di Malaysia.
Contohnya, Ong berkata, rancangan projek laut dalam berkemungkinan ditangguh kesan pengurangan keuntungan.
Mengulas lanjut, beliau berkata dasar Trump, yang menggalakkan peningkatan pengeluaran dan kapasiti eksport bahan api fosil, bertujuan menjadikan AS sebagai pemain dominan dalam pasaran tenaga.
Dasar seumpama berkenaan, katanya menjejaskan pasaran minyak dunia dan mempengaruhi penawaran global termasuk dinamik harga.
Ong berkata, ketidakpastian sedemikian akan menjadikan perancangan jangka panjang lebih sukar bagi syarikat multinasional dan pengeluar tenaga, termasuk di Asia dan Eropah.
“Inisiatif ini berpotensi menjejaskan dinamik bekalan dan permintaan antarabangsa, dan walaupun dasar Trump tidak menyebabkan bencana gangguan, ia cukup signifikan mengubah unjuran peralihan tenaga dan kestabilan ekonomi global.”
Ong berkata, sejauh mana kesannya bergantung beberapa faktor, termasuk tempoh dan intensiti dasar, permintaan global terhadap minyak, dan keupayaan Malaysia menyesuaikan diri.
“Namun, pendapatan dan pelaburan dalam sektor minyak dan gas dijangka terkesan.”
Walaupun impaknya tidak membawa malapetaka, ia cukup signifikan untuk menjamin tindak balas strategik, katanya.
Pihak industri berkata salah satu tindak balas strategik adalah untuk organisasi menjadi lebih berpandukan teknologi, dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital bagi membuka lebih banyak nilai dan meningkatkan produktiviti.
Mereka berkata dengan menerima transformasi digital, syarikat dapat membuka peluang baharu untuk penciptaan nilai dan peningkatan produktiviti, sambil memperkemas operasi dan mengurangkan ketidakcekapan.
Analitik lanjutan dan automasi yang dipacu oleh AI membolehkan pembuatan keputusan berpandukan data, pengurusan risiko yang lebih baik, serta meningkatkan keupayaan untuk meramal dan bertindak balas terhadap perubahan pasaran.
Akhirnya, memupuk budaya inovasi teknologi memastikan organisasi kekal tangkas, berdaya saing, dan kedudukan bersedia menghadapi cabaran dalam landskap tenaga yang terus berkembang.
Ong berkata mengurangkan tenaga kerja mungkin perlu, khususnya jika firma hendak menyesuaikan diri dengan cabaran peralihan tenaga yang berkembang dan landskap ekonomi global yang berubah.
Meskipun langkah itu akan dilihat sebagai reaksi kepada tekanan luar, ia sebenarnya didorong beberapa faktor lain, katanya.
Ong berkata, sektor tenaga global sedang mengalami transformasi mendalam ke arah sumber tenaga boleh baharu dan mampan, sebahagiannya didorong kebimbangan perubahan iklim dan peralihan dasar tenaga di seluruh dunia.
Menurutnya, dasar Trump sedang membentuk semula landskap tenaga global, mempengaruhi pengeluaran, strategi eksport, dan dinamik pasaran.