2 mangsa helikopter polis terhempas kritikal, 3 stabil

2 mangsa helikopter polis terhempas kritikal, 3 stabil

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata dua anggota terlibat insiden di Gelang Patah pagi tadi memerlukan bantuan pernafasan.

Mohd Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata semua mangsa menerima rawatan segera dengan bantuan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
PETALING JAYA:
Dua daripada lima anggota polis yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas di Gelang Patah, Johor pagi tadi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata berkata tiga lagi mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil, lapor Bernama.

Katanya, semua mangsa menerima rawatan segera dengan bantuan doktor pakar di hospital berkenaan sejurus selepas insiden berlaku.

“Alhamdulillah, dengan pertolongan dan bantuan daripada doktor pakar di HSA, saya percaya kita dapat memberikan rawatan terbaik kepada mereka.

“Kita doakan mereka sembuh dan dapat berkhidmat seperti biasa, insya-Allah,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, tiga mangsa ialah anggota Unit Udara Polis, manakala dua lagi bertugas di Balai Polis Tanjung Kupang.

Mengulas dakwaan bahawa helikopter yang digunakan itu aset lama, Khalid berkata isu usia bukan faktor utama sekiranya penyelenggaraan dilakukan dengan baik.

“Lama tidak menjadi masalah, yang penting penyelenggaraan dilakukan dengan baik. Apa yang berlaku ini adalah sesuatu di luar kawalan kita,” katanya.

Terdahulu hari ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter AS355 milik polis terhempas di Sungai Pulai di Gelang Patah pagi ini.

CAAM berkata semua lima penumpang dalam helikopter itu termasuk juruterbang diselamatkan oleh polis marin.

Khalid dalam satu kenyataan berkata helikopter itu mengambil bahagian dalam satu latihan keselamatan membabitkan empat negara sebelum terhempas kira-kira 10.25 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.