
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek berusia 25 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu ke atas mangsa lelaki berusia 9, 13, 14 dan 19 tahun sebelum cuba melarikan diri ke negara jiran.
“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Shah Alam, menangkap suspek di Durian Burung, Kuala Nerang, sebelum sempat melarikan diri keluar dari Malaysia ke negara jiran.
“Turut ditahan ialah seorang lagi lelaki warga Pakistan disyaki berperanan membantu suspek utama menyembunyikan diri daripada dikesan polis.
“Kedua-dua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membabitkan dua kes, manakala dua lagi kes mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, polis membuat permohonan perintah reman terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.
Iqbal turut menasihatkan ibu bapa sentiasa menjaga keselamatan anak masing-masing dan tidak membiarkan mereka keluar bersendirian ke kawasan sunyi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat melalui talian 017 6444895,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa budak lelaki dipercayai menjadi mangsa liwat dan cabul oleh warga Pakistan di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 Shah Alam.