
Peguam kepada bekas perdana menteri itu berkata AG membantah permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan dengan alasan afidavit sokongan berdasarkan maklumat khabar angin, spekulatif dan kononnya perintah berkenaan tidak wujud.
“Di Mahkamah Rayuan pun, beliau (AG) tidak mengesahkan kewujudannya, namun akhirnya membuat pengakuan di Mahkamah Persekutuan,” kata Shafee di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya Hasnah Hashim.
Hakim Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah turut menganggotai panel itu.
Pada pendengaran 2 Julai lalu, Shafee telah mengemukakan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang menjadi peguam negara ketika itu mengakui kewujudan perintah tambahan itu tetapi mempertikaikan keaslian dan kesahihannya.
AG kini merayu untuk membatalkan keputusan majoriti 2-1 pada 6 Jan yang membenarkan permohonan Najib mengemukakan bukti tambahan dan mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar semakan kehakiman itu.
Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Shafee berkata Najib wajar diberi kebenaran kerana beliau mempunyai kes yang boleh dipertikaikan.
Menurutnya, anak guamnya telah ‘dipermainkan’ kerana responden tidak memberikan jawapan muktamad sama ada perintah tambahan itu wujud atau tidak.
Beliau menyifatkan tindakan AG yang tidak menyerahkan dokumen tambahan itu sebagai satu kegagalan dan menyatakan hakim Mahkamah Tinggi telah silap apabila mengatakan beliau tiada kewajipan untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan — sesuatu yang disifatkan Shafee sebagai ‘tragik’.
“Hakim malah menyatakan kami sedang ‘mencari bukti secara rambang’,” katanya.
Shafee berhujah AG mempunyai kewajipan mendedahkan perintah tambahan itu dan mendakwanya bersalah kerana tidak melaksanakan titah diraja.
Najib mengetahui tentang kewujudan perintah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta pada awal Februari tahun lalu.
Beliau kini sedang menjalani hukuman enam tahun penjara berkaitan kes SRC International.
Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada April lalu, dengan menyertakan afidavit yang difailkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berdasarkan maklumat yang mereka peroleh daripada telefon bimbit Tengku Zafrul Aziz.
Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut pada Julai tahun lalu.
Anak Najib, Nizar, turut memfailkan afidavit sebelum pendengaran di Mahkamah Rayuan bagi menyokong permohonan bapanya untuk mengemukakan bukti baru — yang akhirnya dibenarkan oleh mahkamah itu.
Semasa menjawab hujahan Shafee, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan bahawa AG mengakui kewujudan perintah tambahan semasa berhujah pada 2 Julai lalu.
Hasnah kemudian menyatakan isu mengenai bukti baharu bukan lagi menjadi pertikaian.
Bagaimanapun, Shamsul menegaskan perkara itu tidak bersifat akademik kerana kriteria untuk menerima bukti baru tidak dipenuhi.
“Kes dirujuk Shafee berhubung kewajipan keterbukaan oleh pihak berkuasa awam juga tidak relevan,” katanya sambil menambah bahawa AG masih berpegang kepada hujahan bertulis yang difailkan sebelum ini.
Hasnah memaklumkan bahawa tarikh keputusan akan dimaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat.