
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan berkata perbezaan kecil antara tarif ‘Liberation Day’ (24%) dan ‘kadar akhir’ tarif (25%) mencerminkan kurangnya kemajuan bermakna dalam rundingan dua hala dijalankan secara tertutup.
Menurutnya, peningkatan itu menimbulkan persoalan serius berhubung masa depan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, selain memberi tamparan kepada tadbir urus perdagangan antarabangsa dan berisiko melemahkan solidariti serantau.
“IDEAS kekal skeptikal hasil membina dapat dicapai melalui rundingan tidak telus, mengetepikan penglibatan pihak berkepentingan dan dilihat lebih dipacu oleh pertimbangan politik berbanding rasional ekonomi.
“Malaysia mesti terus mengelak daripada terjebak dalam langkah halangan tindak balas perdagangan atau dipaksa membuat pilihan palsu antara kuasa besar dunia.
“Sebaliknya terus memperkukuh dan mempelbagaikan kerjasama dengan negara berkongsi kepentingan terhadap perdagangan terbuka dan saling menguntungkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz yang mengetuai rundingan itu berkata perunding terikat dengan perjanjian untuk tidak mendedahkan butiran.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tarif 25% bermula 1 Ogos itu perlu untuk membetulkan defisit perdagangan ‘tidak mampan’ dimiliki AS dengan Malaysia.
Trump berkata defisit itu disifatkannya sebagai ‘ancaman utama’ kepada ekonomi AS dan keselamatan negara, disebabkan halangan tarif dan bukan tarif Malaysia yang berpanjangan.
Dalam konteks pengerusi Asean, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS Stewart Nixon berkata Malaysia perlu memimpin usaha tangkas dalam tindak balas serantau yang bersatu dan bermakna terhadap tarif AS.
“Keputusan mengecewakan daripada rundingan dua hala bagi Malaysia dan negara lain mengukuhkan keperluan untuk tindakan kolektif bagi menangkis strategi ‘pecah dan perintah’ Washington.
“Kita tidak boleh membiarkan pendekatan keterlibatan secara terpecah melemahkan kedudukan ASEAN di peringkat dunia,” katanya.
Menurutnya, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga boleh dijadikan platform untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau sebagai tindak balas kepada dasar pengasingan AS.
Menurutnya, pasukan Petugas Geoekonomi Asean juga perlu berkembang daripada hanya penilaian dan pemantauan isu berpaksikan perdagangan kepada kesiapsiagaan menghadapi kejutan lebih meluas.
“Dan melaksanakan inisiatif praktikal menyokong pemelbagaian perdagangan dan pelaburan serta rantaian bekalan lebih berdaya tahan,” katanya.