Penurunan OPR tingkat pendapatan boleh guna rakyat

Penurunan OPR tingkat pendapatan boleh guna rakyat

Penganalisis ekonomi kata penurunan OPR beri manfaat pada pelanggan bank berikutan bakal menikmati pengurangan pembayaran bulanan.

kl skyline
BNM menurunkan kadar OPR untuk merancakkan aktiviti ekonomi tempatan dengan menambahkan kecairan dalam pasaran, menurut penganalisis.
PETALING JAYA:
Penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia daripada 3% kepada 2.75% dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, menurut penganalisis ekonomi.

Mohd Afzanizam Abdul Rashid dari Bank Muamalat Malaysia Berhad berkata penurunan sebanyak 25 mata asas itu memberi manfaat kepada pelanggan bank sedia ada berikutan bakal menikmati pengurangan pembayaran bulanan.

“Pengurangan bayaran bulanan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan pendapatan boleh guna.

“Bagi bakal pelanggan bank pula, mereka boleh menikmati kadar pembiayaan yang lebih kompetitif,” katanya kepada FMT.

BNM hari ini mengumumkan pengurangan OPR susulan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) yang diadakan semalam. Ini merupakan kali pertama OPR turun di bawah 3% sejak Mac 2023.

Bank pusat itu berkata penunjuk terkini menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.

Dalam pada itu, Afzanizam bagaimanapun berkata pendeposit pula bakal mendapat kadar pulangan yang rendah sedikit, terutama bagi deposit yang baru.

Bagi deposit simpanan tetap yang sedia ada, kadarnya tetap sama sehingga simpanan itu matang.

“Apabila matang dan mahu melabur semula, maka kadar deposit yang baru iaitu kadar yang lebih rendah akan diguna pakai sejajar kadar OPR yang terkini,” katanya.

Sementara itu, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berpandangan BNM menurunkan kadar OPR itu untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan dengan menambahkan kecairan dalam pasaran.

Beliau berkata BNM juga membuat keputusan menurunkan OPR itu berdasarkan kadar inflasi yang rendah.

“Jadi masih ada ruang untuk menurunkan OPR kerana apabila berlaku peningkatan perbelanjaan biasanya akan meningkatkan harga barangan. Bila orang berbelanja, permintaan banyak harga barang pun naik.

“Tapi disebabkan kadar inflasi sekarang rendah iaitu 1.2%, jadi jika berlaku kenaikan pun ini tidaklah akan membebankan. Kalau kadar inflasi itu tinggi mungkin BNM akan mengambil pendekatan berbeza,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.