
Tertuduh, Mhd Lihan Sabari, 60 dan Noor Nisrin Mahlim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduha, mereka didakwa membuat transaksi perniagaan mengelolakan perjalanan ke Tanah Suci bagi maksud menunaikan haji, dengan menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada Sharifah Nura Syed Edros tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah.
Perbuatan dilakukan di sebuah bank di Jalan Besar, Kawasan Hijau, Mantin dekat Nilai pada 4 Februari hingga 7 April lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1955 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2)(a) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman memperuntukkan denda minimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak kurang RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Razak Sharif mewakili tertuduh merayu jumlah dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan sebagai pekebun sawit manakala manakala tertuduh wanita tidak bekerja.
Menurutnya, anak guamnya juga menyara tiga anak dan menanggung kos operasi kelas pengajian Islam percuma di Batu Pahat, Johor.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 kepada setiap tertuduh bersama syarat tambahan dicadangkan pendakwaan dan menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula.
Sebelum ini, sekumpulan 47 jemaah dari Malaysia pernah dilaporkan menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan membabitkan seorang agamawan terkenal.
Anak salah seorang mangsa mendakwa jemaah itu turut dipaksa berjalan kaki meredah laluan berbahaya dari Jeddah ke Makkah tanpa sebarang dokumen lengkap, makanan dan minuman.