Majlis penasihat tiada kuasa seperti jawatankuasa khas, kata NUTP

Majlis penasihat tiada kuasa seperti jawatankuasa khas, kata NUTP

NUTP perjelas persoalan mengapa jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk selesai isu beban guru memandangkan sudah ada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Pada sidang media kelmarin Presiden NUTP Aminuddin Awang gesa penubuhan jawatankuasa khas tangani isu beban tugas guru. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mempertahankan cadangan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu beban tugas guru yang disifatkan tiada kaitan dengan keberkesanan majlis penasihat sedia ada.

Presiden Aminuddin Awang berkata, penubuhan jawatankuasa khas adalah khusus untuk membuat kajian, turun ke lapangan di seluruh negara serta memberi syor berhubung penambahbaikan perlu dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Jawatankuasa khas biasanya dapat memberikan syor dalam tempoh enam bulan. Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) itu lain. Mereka tidak mempunyai kuasa seperti jawatankuasa khas,” katanya kepada FMT.

Pada sidang media kelmarin, Aminuddin menggesa penubuhan jawatankuasa itu supaya isu beban tugas guru yang berlarutan sekian lama dapat ditangani secara menyeluruh dan tuntas.

Aminuddin Awang.

Katanya, seramai 418,000 guru di seluruh negara masih terbeban dengan tugasan tidak berkaitan profesion perguruan mereka.

Susulan itu, beberapa pihak mempersoalkan mengapa jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan isu membabitkan guru selain mempertikai keberkesanan MPPK.

Pada Disember 2022, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan MPPK diaktifkan semula bagi menyumbang idea kepada kementerian dalam merangka dan menambah baik hala tuju sistem pendidikan negara.

Majlis itu ditubuhkan pada November 2010 mengikut Seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 atau Akta 550.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.