‘Kamu nak menunggang’, Rafizi selar sokongan bersyarat PAS

‘Kamu nak menunggang’, Rafizi selar sokongan bersyarat PAS

Ahli Parlimen Pandan pertikai kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man daripada PAS yang akan sokong RCI kehakiman tetapi bersyarat.

Sidang media bersama beberapa ahli Parlimen PKR
Rafizi Ramli menyifatkan sokongan bersyarat dinyatakan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai tindakan ‘menunggang’.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli menyelar kenyataan ‘kata dua’ daripada PAS terhadap cadangannya supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.

Ahli Parlimen Pandan menyifatkan sokongan bersyarat itu sebagai tindakan ‘menunggang’.

Bekas timbalan presiden PKR berkata, pihaknya sudah mula menghantar surat rasmi kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang hari ini.

“Sokongan bersyarat ini maksudnya nak menunggang. Dari situ, kita sama-sama lihat siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju.

“Bukanlah hak saya nak hukum siapa yang ikhlas atau tidak dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman, seperti mana PAS terus menghukum saya tidak ikhlas selagi tidak sertai perhimpunan mereka,” katanya di Facebook.

Rafizi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu sedia menyokong cadangan penubuhan RCI jika bekas menteri ekonomi turut serta dalam himpunan ‘Turun Anwar’ dijadual berlangsung 26 Julai ini di ibu negara.

Semalam, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata kehadiran Rafizi dalam himpunan itu akan memberi isyarat jelas beliau benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.

Mengulas lanjut, Rafizi turut menggesa PAS tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan ketika skandal 1MDB dahulu.

“Saya minta satu saja, PAS jangan ulang kesilapan semasa skandal 1MDB dahulu. Kami susah payah membuktikan penyelewengan, dia mudah saja pergi jadi auditor dan umum mereka berpuas hati,” katanya.

Kelmarin, Rafizi bersama lapan lagi Ahli Parlimen PKR menggesa penubuhan RCI serta satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka mencetuskan krisis perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.