Disyaki terima suapan lebih RM200,000, juruukur PBT Sabah direman

Disyaki terima suapan lebih RM200,000, juruukur PBT Sabah direman

Suspek lelaki berusia 30-an ditahan di pejabat SPRM Sabah ketika hadir beri keterangan semalam.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk mendapatkan perintah reman empat pagi tadi.
PETALING JAYA:
Juruukur bahan pihak berkuasa tempatan (PBT) Sabah direman kerana disyaki menerima suapan lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek ditawarkan.

Perintah reman empat hari hingga 13 Julai terhadap suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 30-an ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal melalui pelbagai transaksi sebagai habuan membantu mendapatkan projek di PBT berkenaan.

“Antaranya melibatkan pembasmian kemiskinan, pembinaan baharu rumah mesra Sabah, pembersihan pusat-pusat pembuangan sampah dan pembekalan alat-alat ganti kenderaan,” katanya.

Katanya, suspek dipercayai terbabit aktiviti rasuah antara 2021 hingga 2024.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.