Zahid mohon maaf guna perumpamaan malaikat

Zahid mohon maaf guna perumpamaan malaikat

Baru-baru ini, tular video Zahid Hamidi guna perumpamaan malaikat untuk gambarkan kesukaran jadi presiden ketika Umno diuji.

Zahid Hamidi berkata beliau terima teguran dengan hati terbuka dan menginsafi perbuatannya itu.
PETALING JAYA:
Zahid Hamidi memohon maaf susulan ungkapannya menggunakan perumpamaan malaikat dalam konteks tekanan dihadapi ketika memegang amanah sebagai presiden Umno, baru-baru ini.

Zahid menjelaskan kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi sebagai usaha menggambarkan ujian sebagai pemimpin, namun mengakui perbandingan terbabit telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan,” katanya di Facebook.

Baru-baru ini, Zahid ketika merasmikan mesyuarat Umno Sri Gading berkata Umno berdepan ujian hebat sebelum ini apabila harta milik parti dirampas dan akaun dibeku.

“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan presiden Umno ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam,” katanya dalam ucapan yang tular di media sosial.

Ucapannya itu dikritik ramai dan ada pemimpin PAS menyeru pihak berkuasa menyiasat serta mengeluarkan pandangan rasmi berhubung kontroversi terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.