Rafizi bangunkan perusahaan sosial melalui Ayuh Malaysia

Rafizi bangunkan perusahaan sosial melalui Ayuh Malaysia

Rafizi Ramli berkata perusahaan sosial bermatlamatkan masyarakat itu akan dibiayai oleh operasi perniagaan diuruskan dengan cekap.

Rafizi Ramli berkata perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia akan dilancarkan 27 Julai depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Selepas meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, bulan lalu, Rafizi Ramli mengumumkan pembangunan perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia bagi membina jaringan rakyat di peringkat akar umbi.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, perusahaan sosial terbabit bermatlamatkan masyarakat tetapi dibiayai operasi perniagaan yang diuruskan dengan cekap dan membina kekuatan kewangan sendiri.

“Kehadiran jaringan perusahaan sosial yang kukuh di dalam masyarakat dapat menjamin kelangsungan kebajikan ekonomi dan sosial rakyat dalam keadaan pertembungan politik akan terus berlaku di dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rafizi, Ayuh Malaysia akan menjadi platform sehenti bagi mewujudkan sebanyak mungkin perusahaan sosial dalam pelbagai bidang digerakkan orang ramai, serta menyediakan kepakaran dan sokongan jaringan.

Platform ini turut berperanan menyusun sumber kewangan tambahan, memastikan penyeliaan kewangan yang telus dan cekap, serta menghubungkan perusahaan sosial dengan kumpulan sasar yang bakal menerima manfaat secara langsung.

Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata usaha itu dibuat bagi melihat Malaysia berubah kepada sistem yang lebih telus, membudayakan amanah, merancakkan persaingan dan mengangkat merit dalam masyarakat.

“Oleh itu, matlamat saya untuk melihat perkara-perkara ini dalam masyarakat dan negara,” katanya yang menjelaskan pelancaran Ayuh Malaysia akan dibuat pada 27 Jul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.