Polis buru sami didakwa cabul gadis

Polis buru sami didakwa cabul gadis

Siasatan polis Sepang mendapat sami dari luar negara itu bertugas secara sementara di sebuah kuil di Bandar Baru Salak Tinggi.

rape generic
Tular di media sosial seorang wanita mendakwa dicabul ketika beliau datang ke kuil berseorangan untuk upacara keagamaan pada 21 Jun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang sami warga asing kini dalam buruan polis selepas dipercayai mencabul seorang gadis berusia 27 tahun di sebuah kuil di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, bulan lalu.

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan oleh mangsa pada Jumaat minggu lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertugas sementara di kuil berkenaan, kerana menggantikan sami utama yang berada di luar negara.

“Suspek mengguna modus operandi dengan memberikan mangsa air sembahyang dengan merenjis pada muka dan badan sebelum melakukan perbuatan cabul,” katanya dalam kenyataan.

Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencabul kehormatan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman jika sabit kesalahan.

“Polis mengingatkan orang awam supaya tidak mencetuskan isu perkauman atau sentimen keagamaan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman awam,” tegasnya.

Semalam, tular di media sosial apabila mangsa mendedahkan insiden itu di akaun Instagramnya, yang menjelaskan kejadian malang itu berlaku pada 21 Jun ketika beliau datang ke kuil berseorangan untuk upacara keagamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.